BANDAR GAZA – Jurucakap tentera Briged Al-Qassam, Abu Obeida mengemas kini perkembangan perang, isu tawanan serta mengemukakan kenyataan politik kepada Israel dan seluruh dunia semalam, lapor portal berita The Palestine Chronicle.
Menurut Abu Obeida, Rejim Zionis cuba memasuki Gaza dari tiga kawasan berbeza yang kebanyakannya tertumpu di barat laut wilayah itu, Beit Lahia.
“Pejuang kami terlibat dalam pertempuran sengit dengan Israel, memusnahkan 22 kenderaan tentera selain membunuh dan mencederakan ramai askar Zionis.
“Kami menggunakan peluru antiartileri Yassin 105. Ia antara senjata yang mengejutkan musuh,” katanya.
Tambah Abu Obeida, Briged Al-Qassam juga bertempur dengan tentera Israel di zon perang, meletupkan banyak kereta kebal dan kenderaan beperisai dengan meletakkan bahan letupan pada jentera Zionis.
“Operasi pertahanan kami berterusan, sebenarnya ia berada di peringkat awal. Kami berikrar kepada musuh bahawa Gaza akan menjadi kubur tentera, pemimpin dan ahli politik Israel. Kekalahan itu akan menjadi pengakhiran bagi kerjaya politik Perdana Menteri Benjamin Netanyahu,” tegasnya. – Agensi