fbpx

Tiga kawasan PKPD tamat mengikut jadual

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Sebanyak tiga kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) tamat mengikut jadual.

Menteri Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD di Taman Mesra, Sandakan dan Plaza Hentian Kajang akan ditamatkan esok manakala PKPD di Medan 88, Salak Tinggi, Sepang berakhir Rabu ini.

Mengulas tentang PKPD Taman Mesra, Sandakan, katanya sehingga kini Kementerian Kesihatan (KKM) telah melaksanakan sebanyak 1,171 ujian saringan dan sebanyak 174 kes kumulatif positif Covid-19 telah direkodkan.

“Bagaimanapun, KKM mengesahkan hanya 43 kes aktif dicatatkan di lokaliti ini dalam tempoh 14 hari iaitu antara 8 sehingga 21 November lalu.

“Sehubungan itu, atas nasihat dan penilaian risiko oleh KKM, sidang khas hari ini bersetuju untuk menamatkan PKPD di Taman Mesra, Sandakan, Sabah esok sebagaimana yang telah dijadualkan,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Mengenai PKPD Plaza Hentian Kajang pula, Ismail Sabri berkata, sehingga semalam, KKM telah melaksanakan sebanyak 5,752 ujian saringan dan sebanyak 462 kes kumulatif positif Covid-19 telah direkodkan.

Menurutnya, sehingga kini kesemua sampel saringan telahpun diperolehi dan tiada sampel yang masih menunggu keputusan.

Bagi PKPD di Medan 88 pula, ujarnya, KKM telah melaksanakan sebanyak 619 ujian saringan dan 56 kes positif Covid-19 telah direkodkan di lokaliti tersebut.

“Berdasarkan penilaian risiko yang dijalankan oleh KKM mendapati situasi COVID-19 di lokaliti menunjukkan trend penurunan dan terkawal.

“Atas nasihat KKM, sidang khas hari ini bersetuju menamatkan PKPD di Medan 88, Salak Tinggi, Sepang, Selangor pada 25 November 2020 seperti yang dijadualkan,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI