BANGI – Sejumlah 1,315 pengguna aplikasi MyMinda meluahkan hasrat untuk membunuh diri berikutan mengalami tekanan kesihatan mental.
Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, angka itu meliputi individu yang mempunyai idea, rancangan atau cubaan bunuh diri.
Katanya, bagi tingkah laku bunuh diri pula, ia merekodkan sebanyak 1,315 individu setelah melakukan saringan melalui MyMinda.
“Selain itu, seramai 6,955 pengguna turut menyertai saringan MyMinda dan daripada angka itu, kira-kira 2,820 pengguna berisiko penyakit kemurungan.
“Kami juga mendapati bahawa sejumlah 1,271 pengguna mempunyai simptom keresahan, manakala 2,887 individu disaring juga ada bergejala kemurungan,” katanya pada Program Minda Sihat Hidup Sejahtera di Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) di sini tadi.
Susulan itu, Dr. Zaliha berkata, dia berharap lebih ramai pengguna MySejahtera tampil menyertai saringan atas talian agar isu masalah kesihatan mental dapat ditangani lebih awal dan proaktif.
“Sementara itu, di peringkat kementeriannya pula, kami akan bertindak mengumpul data dan statistik sebelum melakukan analisis berdasarkan dapatan oleh responden MyMinda.
“Pada masa sama, majikan dan pekerja memainkan peranan bersama bagi mewujudkan suasana kerja sihat bukan sahaja daripada segi fizikal malah aspek mental,” katanya.
MyMinda dilancarkan pada 22 Oktober lalu sebagai ciri baharu aplikasi MySejahtera yang terdiri komponen saringan minda sihat dan juga akses kepada talian bantuan psikososial. – KOSMO! ONLINE