PETALING JAYA – Pengacara dan pelawak popular, Sherry AlHadad meminta supaya orang ramai tidak mengecam pemain industri hiburan kerana menganjurkan majlis berbentuk hiburan.
Menurut Sherry atau nama sebenarnya, Shariffah Mariam Syed Abdullah Al Hadad, 34, berkata, golongan artis cuma menjalankan tuntutan kerja sebagai selebriti.
“Saya tahu ada yang kecam sebab menganjurkan majlis hiburan saat negara dilanda pandemik Covid-19.
“Tetapi saya meminta supaya mereka di luar sana (khalayak) faham kerana itu adalah sebahagian daripada tuntutan kerja sebagai penghibur,” kata pengacara Muzik-Muzik itu.
Pada masa sama, Sherry yang turut menjalani ujian calitan Covid-19 memberitahu, tindakan para artis dan kru produksi melakukan ujian saringan kesihatan dan memuat naik dalam media sosial bukan untuk menakut-nakutkan masyarakat, sebaliknya ingin memberitahu bahawa mereka telah menjalankan tanggungjawab yang sepatutnya.
“Harap netizen tahu bahawa kami (artis) yang terlibat telah melakukan ujian saringan kesihatan dan melakukan tindakan sewajarnya.
“Selepas ini kami akan menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari,” katanya.
Sejak semalam, hampir semua artis dan petugas terlibat dalam pertandingan Separuh Akhir Muzik-Muzik ke-35 (SFMM35) telah menjalani ujian saringan kesihatan selepas penyanyi Alif Satar yang turut serta dalam pertandingan pertandingan tersebut disahkan positif Covid-19. -K! ONLINE