LAUSANNE – Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengesahkan Arab Saudi menjadi satu-satunya negara membentangkan bidaan untuk menganjurkan Piala Dunia 2034.
FIFA sebelum ini menjemput bidaan daripada negara-negara dari benua Asia dan Oceania tetapi Australia membuat keputusan untuk menarik diri daripada menjadi tuan rumah pentas berprestij dunia tersebut.
“Kami membatalkan hasrat membida hak penganjuran tuan rumah Piala Dunia 2034 selepas mengambil kira semua faktor dan mencapai kesimpulan untuk tidak berbuat demikian,” kata Persatuan Bola Sepak Australia dalam satu kenyataan.
Ia menyaksikan Arab Saudi secara tidak rasminya bakal menjadi tuan rumah Piala Dunia 2034, selari dengan pelaburan mewah negara itu dalam bola sepak serta beberapa sukan lain seperti Formula Satu dan golf.
“Seperti ketetapan Peraturan Bidaan yang diluluskan Ahli Majlis FIFA, penilaian menyeluruh terhadap bidaan akan dilakukan untuk Piala Dunia 2034 sebelum kongres melantik tuan rumah pada suku keempat 2024,” menurut kenyataan FIFA.
Arab Saudi yang berada di ranking ke-57 dunia, membuat bidaan setahun selepas Qatar menjadi tuan rumah Piala Dunia pertama di Timur Tengah pada penghujung tahun lepas.
Pada mulanya negara itu berminat membida Piala Dunia 2030 bersama Mesir dan Greece, namun cadangan itu terpaksa dilupakan selepas FIFA memberikan keutamaan kepada idea penganjuran membabitkan tiga benua yang bakal memasuki tahun ke-100 saingan.
Buat kali pertama juga bakal menyaksikan Piala Dunia 2030 dianjurkan di enam negara iaitu Maghribi, Portugal dan Sepanyol selaku tuan rumah, manakala Argentina, Paraguay serta Uruguay dijemput menganjurkan beberapa perlawanan pada edisi itu nanti. – AGENSI