fbpx

Pemilik FB Penny Tai tidak mengaku hina Muhyiddin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zee Zing (kiri) ketika keluar dari Mahkamah Sesyen hari ini selepas menbayar ikat jamin. Foto oleh SYAKIR RADIN /KOSMO!

AMPANG – Seorang wanita didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membuat hantaran jelik mengupah untuk membunuh Perdana Menteri kelapan Tan Sri Muhyiddin Yassin, tiga tahun lalu.

Bagaimanapun tertuduh Tai Zee Zing, 31, yang bekerja sebagai pembantu klinik di Singapura itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Wan Norisham Wan Yaakob.

Mengikut pertuduhan, Zee Zing didapati menggunakan Facebook melalui profil ‘Penny Tai’ secara sedar telah membuat dan memulakan hantaran komunikasi jelik iaitu ‘Can Hired Killer To Kill New Prime Minister?’ (Boleh Mengupah Pembunuh Untuk Bunuh Perdana Menteri Baharu?) dengan niat menyakitkan hati orang lain.

Kesalahan itu didakwa di Balai Polis Ampang di sini Ampang pukul 12.35 tengah hari pada 1 Mac 2020, mengikut Seksyen 233(1)(a)(ii) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama.

Seksyen terbabit memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Hakim Amir Abdul Hamid mencadangkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Namun peguam Rajsurian Pillai yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah kerana anak guamnya yang belum berkahwin itu mempunyai tanggungan ibu dan bapanya.

“Saya membantah syarat tambahan (pasport diserahkan) kerana anak guam saya turut melanjutkan pelajaran di Singapura dalam jurusan Pengurusan Perniagaan. Sepanjang siasatan, tertuduh telah memberikan kerjasama yang baik dan hari ini dia datang sendiri ke mahkamah bagi pendakwaan,” kata peguam itu.

Selepas mendengar makluman dan permohonan kedua-dua belah pihak, Hakim Wan Norisham membenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan tidak mengenakan syarat tambahan (pasport diserahkan) memandangkan tertuduh sedang melanjutkan pelajaran di Singapura.

Tarikh 20 Disember ini ditetapkan sebagai sebutan kes.

Untuk rekod, Muhyiddin secara rasmi diangkat menjadi Perdana Menteri kelapan pada 1 Mac 2020.

Beliau yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI