JOHOR BAHRU – Hakim Mahkamah Sesyen di sini hari ini sebak mengenangkan penderitaan yang dialami seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun apabila didera dengan cara dipukul, ditinggalkan di rumah keseorangan tanpa makanan oleh ibu kandung serta seorang wanita berperwatakan tomboi selama sebulan sejak 1 Julai lalu.
Hakim V.M. Mabel Sheela menjatuhkan hukuman selama 14 tahun bagi kedua-dua pertuduhan dera dan mengabaikan tanggungjawab terhadap kanak-kanak malang ke atas ibu tunggal berusia 27 tahun dan rakan serumahnya, Awiin Chua, 30.
“Pertalian ibu dan anak adalah sangat istimewa, kalau tanya anak adakah dia mahu mengikut awak, pasti dia akan mahu ikut, walaupun tahu akan merasa sakit.
“Mahkamah tidak boleh membayangkan keadaan mangsa jika keadaan berlarutan lebih lama dan tidak dibantu orang awam, pastinya mangsa akan meninggal dunia,” katanya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Diyana Zubir, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Nurhazneena Zureen Jaesleen Mohamad Hanafiah
Pendakwaan memaklumkan terdapat lebih 20 kesan kecederaan fizikal di tubuh mangsa berdasarkan hasil pemeriksaan dilakukan pakar perubatan.
“Tempoh tertuduh melakukan penderaan terhadap mangsa iaitu sebulan adalah tempoh dimana mangsa tinggal bersama mereka.
“Kekerapan setiap hari sejak 1 Julai hingga 9 Ogos berdasarkan kepada pengesahan luka lama dan baru serta parut tubuh badan mangsa dalam laporan perubatan.
“Mangsa bukan sahaja dipukul tetapi turut diabaikan dengan ditinggalkan keseorangan, dikunci di rumah tanpa makanan serta tidak ada pihak menghalang atau menyelamatkan mangsa ketika dipukul,” jelasnya sebelum mahkamah menetapkan hukuman terhadap tertuduh.
Mabel Sheela kemudian memerintahkan tertuduh tertuduh dipenjara tujuh tahun bagi pertuduhan pertama dan kedua, dimana hukuman tersebut berjalan serentak bermula dari tarikh tangkapan iaitu 12 Ogos lalu.
Pada 27 September lalu, kedua-dua tertuduh menukar pengakuan mereka kepada bersalah di Mahkamah Sesyen itu terhadap dua pertuduhan menganiaya dan mengabai anak kandung ibu tunggal berkenaan.
Berdasarkan pertuduhan pertama, kedua-duanya mereka didakwa dengan niat menganiaya mangsa yang berada dalam pemeliharaan mereka sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal.
Sementara itu bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa dengan niat mengabaikan kanak-kanak itu ketika mangsa berada dalam pemeliharaan mereka.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis kediaman beralamat di Pasir Gudang antara 1 Julai hingga 9 Ogos lalu. – KOSMO! ONLINE