KANGAR – Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Dan Ketenteraman Awam (KDNKA) (Pasukan Gerakan Am) Bukit Aman, Datuk Muhammad Abdul Halim dilantik sebagai Ketua Polis Perlis Ke-19 berkuatkuasa hari ini.
Muhammad, 53, yang berasal dari Jejawi, Perlis dilantik menjadi Ketua Polis Perlis bagi menggantikan Datuk Surina Saad yang bersara wajib pada September lalu.
“Saya akan memfokuskan tugas untuk meningkatkan keselamatan terutamanya bagi membanteras jenayah rentas sempadan kerana Perlis juga memiliki garis sempadan darat dan perairan yang luas.
“Saya juga akan terus meningkatkan kerjasama dengan pasukan sahabat seperti Pasukan Gerakan Am dan dari lain-lain agensi selain akan menggunakan sepenuhnya aset-aset di bawah KDNKA,” katanya ketika sidang akhabar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis di sini hari ini.
Terdahulu, beliau menandatangani dan menerima tongkat kuasa daripada pemangku Ketua Polis Perlis, Senior Asisten Komisioner Baderulhisham Baharudin sambil disaksikan Pengarah KDNKA Bukit Aman, Datuk Seri Hazani Ghazali.
Menurut Muhammad lagi, beliau secara peribadi bersyukur dapat kembali berkhidmat di negeri kelahirannya dan akan mengambil peluang itu memberi sedikit sumbangan kepada Perlis.
“Dengan kepulangan ini, saya akan mengambil peluang ini untuk berbakti dan meninggalkan sumbangan kepada keseluruhan lapisan masyarakat, isu-isu keselamatan dan sebagainya.
“Selain memfokuskan kepada kawalan dan meningkatan pencegahan jenayah rentas sempadan, aktiviti jenayah domestik dan keselamatan komuniti juga akan turut diberi perhatian,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE