KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan melakukan semakan berkala kandungan dan kualiti pengajian bagi memastikan kualiti graduan selaras dengan pasaran kerja.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ia bagi memastikan kurikulum yang ditawarkan adalah relevan, terkini serta selaras dengan kemajuan teknologi revolusi industri 4.0 (IR 4.0).
Mohamed Khaled berkata, semakan itu selari dengan fokus KPT kini yang bukan lagi dalam kebolehpasaran graduan, sebaliknya peningkatan peratusan graduan memperoleh gaji premium.
“Proses semakan ini adalah kritikal bagi memastikan kurikulum yang ditawarkan adalah relevan, terkini serta selaras dengan kemajuan teknologi IR4.0.
“Perkara baik kita kekalkan dan tambah baik. Yang dah tidak relevan, akan ditinggalkan serta diganti dengan program terkini dan bersesuaian,” katanya ketika berucap di Majlis Perasmian Persidangan Dinamik Pasaran Kerja Graduan 2023, di sini hari ini.
Selain itu katanya, KPT juga sedang merancakkan kerjasama erat dengan penggiat industri merentas kementerian dan agensi.
“Kita tidak mahu lagi sekadar duduk dan berbincang secara permukaan. Sebaliknya, fokus untuk libatkan pihak industri secara intensif dan langsung.
“KPT akan terus cari jalan terbaik agar satu ekosistem yang menyokong graduan berkualiti dapat dibentuk secara strategik,” ujarnya.
Terdahulu Kosmo! melaporkan, KPT menetapkan gaji premium untuk graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebanyak RM4,000 ke atas sebulan.
Mohamed Khaled ketika di Dewan Rakyat baru-baru ini berkata, sekitar 10 peratus graduan TVET dari Universiti Awam (UA) atau rangkaian Universiti-Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) telah menerima gaji premium. – KOSMO! ONLINE