fbpx

Tujuh individu bukan pekerja syarikat, syarikat tipu RM24,500

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tertuduh, Nur Kesuma Kartini Mohamad Zahir, 41, dituduh kemuka dokumen dengan pernyataan palsu di Mahkamah Sesyen Alor Setar, hari ini.

ALOR SETAR – Seorang pemilik syarikat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini bagi berdepan tujuh pertuduhan mengemukakan dokumen mengandungi pernyataan palsu, untuk menuntut insentif Program Penjana Kerjaya 2.0 Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berjumlah RM24,500, dua tahun lalu.

Tertuduh, Nur Kesuma Kartini Mohamad Zahir, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan sebaik kesemua pertuduhan itu dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa di depan Hakim, Rohatul Akmar Abdullah.

Mengikut kertas pertuduhan, ibu kepada dua anak itu didakwa mengemukakan tujuh dokumen iaitu borang pengesahan pekerja Program Insentif Pengambilan Pekerja (Hiring Insentive Program), atas nama Aisy Maju Abadi Trading  bagi membuat tuntutan berkenaan.

Borang itu didakwa diserahkan kepada seorang wanita yang merupakan Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan Pejabat Perkeso Kedah, dengan niat hendak memperdayakan Perkeso.

Tertuduh didakwa memiliki sebab untuk mempercayai bahawa dokumen tersebut mengandungi pernyataan palsu iaitu butiran mengenai tujuh individu sedangkan mereka bukanlah pekerja syarikat Aisy Maju Abadi Trading.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan pada tarikh 22 Jun 2021 di Lot 186, Wisma Perkeso, Jalan Teluk Wanjah di sini.

Pertuduhan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), S. Sujatha mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 (Akta 694) manakala tertuduh diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Ummi Kalthum Zakaria.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 24(2) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai butir matan palsu tersebut atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Terdahulu pihak pendakwaan mencadangkan supaya mahkamah menetapkan kadar jaminan sebanyak RM60,000 untuk semua pertuduhan.

Peguam mewakili tertuduh bagaimanapun memohon agar jaminan ditetapkan pada kadar minimum kerana tertuduh kini hanya menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan dengan dibantu suaminya.

Menurutnya, tertuduh hanya memperolehi pendapatan kira-kira RM1,300 sebulan dengan dia turut perlu menanggung adiknya yang merupakan seorang orang kelainan upaya (OKU).

Mahkamah kemudiannya menetapkan kadar jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin. Selain itu, tertuduh turut perlu melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan.

Tertuduh difahamkan membayar jaminan ditetapkan itu dengan tarikh sebutan semula ditetapkan pada 5 Disember 2023. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI