PETALING JAYA – Seorang kanak-kanak perempuan Palestin yang sedang dirawat paramedik tidak menyedari sebenarnya dia telah hilang penglihatan, selepas menjadi mangsa serangan pengemboman rejim Zionis Israel yang turut melibatkan rumahnya.
Video kanak-kanak tersebut dengan wajahnya dibasahi sedikit darah dan sedang menutup mata ketika sedang berbual dengan seorang lelaki tular di media sosial selain turut dikongsikan pada Instagram pertubuhan bukan kerajaan (NGO) MyFundAction.
“Jangan bimbang, mereka (pasukan perubatan) hanya nak lap muka kamu sahaja. Saya ada di sebelah kamu wahai si manis hati. Mereka nak lap muka kamu sahaja sebab sangat berhabuk,” kata lelaki tersebut dalam perbualan itu.
Dalam pada itu, kanak-kanak perempuan tersebut menceritakan rumahnya telah dibom dan dia turut berasa marah dengan rejim Zionis Israel.
Lelaki itu kemudian memujuknya dengan mengatakan dia seorang yang, bijak, kuat selain seorang ‘superhero’.
Berdasarkan kapsten MyFundAction memberitahu, kanak-kanak itu hilang penglihatan kekal, namun dia tidak menyedarinya pada waktu tersebut.
“Hati kami disiat-siat hingga menjadi berkeping-keping jutaan. Kanak-kanak perempuan Palestin ini, sengsara selepas dibom berpunca daripada Amerika Syarikat dan Israel. Sekarang dia hilang penglihatan walaupun sebenarnya dia tidak sedar ketika ini.
“Dalam keadaan mencabar begini, lelaki yang sedang bercakap ini melakukan yang terbaik untuk meyakinkan bagi mengelakkan dia terkejut atau panik pada waktu itu.
“Perbuatan kejam dan jenayah perang terhadap kanak-kanak, pada perspektif kami adalah paling menyedihkan sepanjang kami melaksanakan kerja-kerja kemanusiaan,” kata hantaran itu.
Sementara itu, difahamkan lelaki yang berkomunikasi dengan kanak-kanak perempuan tersebut adalah seorang jurugambar bebas di Gaza dikenali sebagai Mohammed Zaanoun. – KOSMO! ONLINE