KUALA TERENGGANU – ‘Sewa rumah cuma RM150 tetapi sudah tiga bulan saya tak bayar.”
Luahan itu disuarakan tukang rumah, Zainuddin Ngah, 42, yang tidak dapat bekerja sejak bulan lalu apabila terpaksa menjaga isterinya, Zaipah Abdul Majid, 38, yang disahkan menghidap ketumbuhan otak.
“Isteri disahkan menghidap penyakit itu selepas menjalani pemeriksaan pengimejan resonan magnetik (MRI) di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) pada 11 Oktober lalu.
“Sejak itu, kesihatannya semakin merosot dan kini dia sukar untuk berdiri lama, sering terjatuh serta pengsan,”katanya.
Zainuddin memberitahu, sejak empat bulan lalu isterinya kerap mengadu sakit kepala dan terpaksa berulang-alik ke klinik dan hospital.
Katanya, dia kini terpaksa mengambil alih tugas menguruskan rumah dan dua anak mereka iaitu Siti Nur Aisyah, 6, dan Muhammad Nasrullah, 10.
“Melihat keadaannya saya tidak berani keluar bekerja sebagai tukang rumah dan meninggalkannya dengan dua anak kecil.
“Setiap hari saya perlu menguruskan isteri selain mengurus rumah seperti mencuci pakaian dan memasak serta mengambil anak-anak dari sekolah,” jelasnya.
Luah Zainuddin, keadaan itu menyebabkan dia hilang punca pendapatan selain perlu mencatu perbelanjaan makanan mereka empat beranak.
“Sewa rumah tertunggak selama tiga bulan. Sewa rumah cuma RM150 sebulan, tetapi memang saya tidak mampu kerana tiada punca pendapatan, wang simpanan juga tinggal sedikit.
“Saya bimbang jika perlu keluar dari rumah sewa ini kerana kami tiada tempat lain untuk berlindung selain sebuah rumah pusaka, namun sudah terlalu uzur,” katanya.
Sehubungan itu, orang ramai yang bersimpati boleh menyumbang menerusi akaun bank Zainuddin bernombor 1110029001050573 (Bank Simpanan Nasional).