fbpx

Kepentingan menjaga sungai demi sumber air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kawasan tadahan air penting untuk bekalan air bersih kepada manusia. – Gambar hiasan

SUMBER dan ekosistem air merupakan antara elemen penting dalam menjamin kelestarian alam sekitar.

Ekosistem air juga membantu menjamin ketersediaan air bersih buat manusia serta hidupan lain seperti flora dan fauna.

Mendukung usaha untuk menjaga kepentingan sumber dan ekosistem air, Tabung Hidupan Liar (WWF) Malaysia serta Lembaga Sumber Air Terengganu (LAUT) telah bekerjasama menganjurkan program Journey of Water (JoW).

Pengarah Sumber Manusia WWF-Malaysia, Nik Izuan Nik Mohammed, program yang julung kalinya diadakan di Terengganu itu bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan sumber dan ekosistem air.

Ujarnya, program JoW juga diharap mampu meningkatkan kesedaran berkaitan keperluan pengurusan mampan kawasan tadahan dan sungai demi kelestarian sumber air.

“Program ini melibatkan seramai 26 peserta yang digelar sebagai Water Heroes dengan aktiviti menelusuri perjalanan air dari hulu ke hilir.

“Mereka yang terlibat terdiri daripada wakil agensi kerajaan, syarikat pembekal air, syarikat pengendali rawatan air kumbahan, ahli akademik, komuniti setempat serta operator pelancongan tempatan.

“Perjalanan Water Heroes bermula di Taman Tasik Bandar Baru Kuala Nerus dan berakhir di Resort Pantai Pandan Laut.

“Menerusi program ini, para peserta memperoleh pengalaman dan pengetahuan tentang kepentingan memelihara hutan serta sungai untuk sumber air mampan,” katanya menerusi satu kenyataan akhbar baru-baru ini.

SERAMAI 26 peserta bergelar Water Hero menyertai program JoW yang diadakan di Setiu dan Besut, Terengganu baru-baru ini.

Selain itu, peserta berpeluang melihat cabaran dihadapi di kawasan lembangan sungai serta kepentingan kesihatan ekosistem air untuk komuniti dan biologi .

Tambahnya, program yang berlangsung dari 17 hingga 19 Oktober lalu di Setiu dan Besut itu turut mendapat sokongan daripada CIMB Islamic Bank.

Kongsi Nik Izuan lagi, kolaborasi semua pihak dalam program itu berpotensi menjadi titik permulaan kepada lebih banyak usaha konservasi ke arah mencapai kelestarian dan pengurusan air.

“Saya yakin, pengetahuan, pengalaman dan penglibatan secara langsung Water Heroes sepanjang program ini telah memberi nilai tambah kepada mereka.

“Pada masa sama, ia mampu menjadi rujukan dalam aspek advokasi dan penyediaan polisi ke arah pengurusan lestari dan pemuliharaan air di Setiu Wetlands.

“Harapan kami agar semua agensi terlibat akan menjadikan acara ini sebagai pemangkin kepada usaha konservasi yang lebih giat di Setiu Wetlands dan Terengganu,” tambahnya.

Sementara itu, Ketua Penolong Pegawai Daerah Pembangunan Pejabat Daerah Setiu, Muhammad Tarmizi Abdul Rahman berkata, lawatan berasaskan pembelajaran itu membolehkan para Water Heroes melihat hubung kait dan manfaat air kepada pelbagai kumpulan pengguna.

Katanya, penekanan harus diberikan terhadap penerapan kegiatan guna tanah serta aktiviti manusia yang mampan khususnya di kawasan tadahan air dan lembangan sungai.

“Ini penting untuk mencegah pencemaran sungai yang mempengaruhi ketersediaan air bersih dan mengancam kesihatan kita, selain mengelakkan peningkatan risiko banjir.

“Amalan konservasi air merupakan pendekatan penting bagi memastikan kemampanan bekalan air untuk generasi masa depan,” ujarnya.

Tambah Muhammad Tarmizi, penglibatan dan kerjasama semua pihak, agensi kerajaan, mahupun swasta dan korporat, organisasi bukan kerajaan, institusi akademik serta penduduk setempat amat diperlukan dalam setiap program berkaitan air termasuklah JoW.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI