fbpx

93 kes rogol, cabul kanak-kanak dan remaja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

MELAKA – Jenayah rogol dan cabul melibatkan mangsa kanak-kanak dan remaja antara kes tertinggi yang direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) negeri ini sejak awal tahun sehingga bulan lalu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, secara keseluruhan sebanyak 173 kes direkodkan di bawah 30 seksyen berlainan melibatkan mangsa berusia antara 7 sehingga 18 tahun.

Katanya, bagaimanapun kes rogol, cabul dan dera antara yang tertinggi direkodkan, disusuli kes keganasan rumah tangga serta ugutan jenayah.

“Setakat September lalu, kita merekodkan sebanyak 50 kes membabitkan kes rogol di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan, Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) pula 43 kes dan jenayah dera Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 sebanyak 13 kes.

“Kes mencederakan di bawah Akta Keganasan Rumah Tangga (9 kes) dan ugutan jenayah di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan tujuh kes. Selebihnya kes pukul, curi, samun dan sebagainya yang direkodkan antara satu ke tiga kes,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Pelancaran Duta Sahsiah Pemangkin Pembentukan Karakter Karamah Insaniah Peringkat Negeri Melaka di Sekolah Menangah Kebangsaan (SMK) Bukit Baru, di sini, hari ini.

Tambahnya, negeri ini turut merekodkan satu kes bunuh di daerah Melaka Tengah dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Mengulas lanjut Zainol memberitahu, polis turut merekodkan kes tangkapan membabitkan pelaku muda dengan 15 kes di bawah jenayah rogol, mengakibatkan kecederaan (empat kes) dan satu kes bunuh.

“Angka ini menunjukkan kepentingan pelaksanaan Duta-duta Sahsiah yang dilantik oleh pihak sekolah sebagai pemantau dan pelapor untuk kita mengenal pasti keterlibatan pelajar dalam kegiatan yang melanggar peraturan.

“Kepada ibu bapa dan pihak sekolah pula, sentiasalah cakna kepada perkembangan semasa trend jenayah yang berubah agar anak-anak tidak terlibat sama sebagai pelaku atau menjadi mangsa jenayah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI