fbpx

Mahkamah: Adam Radlan bakal didakwa lagi pertuduhan ubah wang haram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Adam Radlan.

KUALA LUMPUR – Timbalan Ketua Bahagian Segambut, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Adam Radlan Adam Muhammad akan didakwa atas beberapa lagi pertuduhan kes pengubahan wang haram, di Mahkamah Sesyen Shah Alam minggu depan.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Fadhly Mohd. Zamry ketika sebutan lima kes rasuah di dua Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Semasa prosiding di hadapan Hakim Azura Alwi, Mohd. Fadhly berkata, pendakwaan akan mengemukakan pertuduhan baharu terhadap Adam Radlan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA).

“Sebelum ini, mahkamah dimaklumkan bahawa, pihak pendakwaan mahu memindahkan semua kes yang dihadapi oleh tertuduh ke Mahkamah Sesyen di hadapan Hakim Suzana Hussin.

“Bagaimanapun, ada perkembangan baharu iaitu pada 25 Oktober lalu, tertuduh telah didakwa atas satu tuduhan di bawah AMLATFPUAA,” kata Mohd. Fadly.

Justeru pihak pendakwaan memohon satu tarikh sebutan lain, untuk memindahkan kes (bagi tujuan dibicarakan bersama) selepas pertuduhan ubah wang haram di Mahkamah Sesyen Shah Alam, selesai.

Selepas mendengar makluman pihak pendakwaan itu, Hakim Azura kemudian menetapkan 28 November ini untuk tarikh sebutan semula kes.

Dalam prosiding itu, peguam, Wee Yeong Kang hadur bagi pihak Adam Radlan.

Pada 21 Februari lalu, Adam Radlan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, atas satu tuduhan meminta suapan iaitu wang tunai sejumlah 3.5 hingga tujuh peratus nilai projek yang akan diperoleh daripada seorang pengarah urusan sebuan syarikat.

Dia turut didakwa atas satu tuduhan menerima suapan RM500,000 ke akaun CIMB Bank Berhad miliknya daripada individu sama sebagai upah kerana membantu syarikat tersebut mendapatkan surat sama bagi Projek Membina Jalan Sungai Adam ke Kampung Banat, Perlis daripada Kerajaan Malaysia secara rundingan terus yang jumlah keseluruhannya bernilai RM47.8 juta.

Pada 22 Februari pula, dia didakwa lagi di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM4.1 juta berhubung projek Jana Wibawa daripada Lian Tan Chuan dan Mat Jusoh melalui akaun CIMB Bank Bhd milik Syarikat Bayu Bumiraya Sdn Bhd yang dia adalah pengarah syarikat berkenaan.

Ia sebagai upah bagi tertuduh membantu Syarikat Nepturis Sdn Bhd serta MIE Infrastructure & Energy bagi mendapatkan dua projek iaitu Ibu Pejabat Daerah Klang Utara dan pembinaan jalan Sungai Adam ke Kampung Banat, Perlis daripada kerajaan Malaysia masing-masing bernilai RM141 juta serta RM47.8 juta.

Kemudian pada 28 Februari, dia didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas satu pertuduhan meminta rasuah RM2 juta, sebagai upah membantu Nepturis mendapatkan projek Ibu Pejabat Daerah Klang Utara, Selangor daripada kerajaan Malaysia, di sebuah restoran di Damansara, Januari tahun lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI