KUALA LUMPUR – Siasatan dalaman berkaitan kematian Pegawai Muda Kor Risik Diraja (KRD) meninggal dunia di Kem Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (Pulada) masih dijalankan.
Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata, TDM memandang serius setiap pelaksanaan latihan dan akan melihat semula keperluan serta kesesuaian berdasarkan keadaan cuaca yang tidak menentu.
Ujarnya, pemergian Allahyarham Emil Syahid Iskandar merupakan satu kehilangan besar namun ia tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak meneruskan latihan.
“Dari segi perubatan secara umumnya mereka (pegawai) didiagnos sebagai strok haba, namun Pulada sedang membuat siasatan dalaman bagi mengenal pasti punca kejadian. Dapatan siasatan akan diumumkan nanti.
“TDM memandang serius setiap bentuk latihan yang dijalankan. Kursus ketua platun ini memang mencabar ketahanan mental namun ia kursus asas bagi pegawai TDM.
“Walaupun langkah seperti ‘water break’ dan memastikan pegawai rehydrate diri mereka dilakukan bagaimanapun keadaan cuaca sekarang sering berubah jadi TDM akan lihat semula (latihan berkenaan),” katannya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas selesai berucap pada Perintah Ulung Panglima Tentera Darat ke-30 di Kem Perdana Sungai Besi, di sini hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, siasatan setakat ini mendapati tiada unsur ‘foul play’ atau khianat berhubung insiden kematian itu ekoran beberapa mangsa dalam kejadian itu turut mengalami strok haba.
Katanya, setiap latihan dijalankan di Pulada perlu mematuhi garis panduan khusus yang sudah ditetapkan bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku.
“Kita punya latihan pun ada OSH (Pengamal Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, kita tekankan perkara itu, nak menembak pun kita pakai penutup telinga dan sebagainya.
“Dari segi latihan memang ikut SOP (prosedur operasi standard), ia (latihan) untuk memantapkan fizikal pegawai berkenaan. Kita akan lebih berhati-hati pada masa akan datang, bukan sahaja di PULADA malah di pusat latihan di seluruh negara,” katannya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan seorang pegawai muda KRD meninggal dunia manakala sembilan yang lain dilaporkan menerima rawatan akibat mengalami simptom strok haba ketika menjalani latihan di Pulada, Kota Tinggi, 16 Oktober lalu.
Allahyarham Leftenan Muda Emil Syahid Iskandar, 24, disahkan meninggal dunia pada pukul 11.10 malam kelmarin ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bharu, Johor.
Difahamkan, Allahyarham mengalami pitam dan tidak sedarkan diri ketika menjalani latihan Jalan Laju Kursus Tempur Pegawai Muda Tentera Darat Siri 3/2023 di kem berkenaan.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan Tanah Perkuburan Islam Bandar Baru Tasik Puteri, Rawang, Selangor, pada 15 Oktober. – KOSMO! ONLINE