KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merafak sembah ucapan tahniah atas pemilihan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 untuk tempoh lima tahun bermula 31 Januari tahun depan.
Anwar yang juga Ketua Majlis Parlimen Ke-15 dan Ahli Parlimen Tambun berkata, Dewan Rakyat turut merafak sembah ucapan tahniah kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh sama.
“Saya selaku Ketua Majlis Parlimen Ke-15 bagi pihak Dewan yang mulia ini dengan sepenuh ikhlas ingin merafak sembah dengan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan ikrar taat setia Dewan ini dipersembahkan kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Di-Pertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim sempena pemilihan Baginda sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVII (Ke-17).
“Saya juga ingin merafak sembah dengan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan ikrar taat setia Dewan ini turut dipersembahkan kepada Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzudin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-lah, Sultan Yang Di-Pertuan dan Raja Pemerintah Negeri Perak Darul Ridzuan atas pemilihan Baginda sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong,” kataya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Perdana Menteri berkata, beliau yakin Insya-Allah kerajaan dan rakyat akan mendapat limpah rahmat dan kesejahteraan yang bertambah daripada pemerintahan raja yang adil, bijaksana dan prihatin terhadap rakyat jelata dan negara.
Anwar berkata, sebagai teras pemerintahan Raja Berperlembagaan, beliau amat berkeyakinan dengan pemerintahan Duli Yang Maha Mulia Tuanku, Malaysia bakal diberkati dengan nikmat perpaduan dan kemakmuran yang berpanjangan.
“Daulat Tuanku. Sembah Takzim daripada saya dan seluruh ahli Dewan yang mulia ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE