KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dihubungi Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan memaklumkan cadangan penganjuran sidang tergempar bersama ketua-ketua negara Islam.
Menurut Anwar, persidangan tersebut dicadangkan Putera Mahkota dan Perdana Menteri Arab Saudi, Mohammed Salman Al Saud berikutan konflik keganasan yang sedang berlaku di Palestin.
“Terkini Erdogan menghubungi saya dan Menteri Luar Turkiye juga begitu. Arab Saudi bercadang untuk menganjurkan sidang ketua-ketua negara Islam.
“Saya telah meminta Menteri Luar menghubungi Turkiye dan Arab Saudi untuk menyatakan bahawa mungkin ada kewajaran mengadakan sidang tergempar itu yang melibatkan juga negara beberapa negara lain.
“Seperti Brazil, Rusia dan China yang turut menyatakan sikap agak tegas menentang keganasan Israel,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE