KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mendedahkan kepada Dewan Rakyat mengenai ugutan dan tekanan yang diterima Malaysia kerana tegas dalam pendirian membantah keganasan rejim Zionis.
Menurut Perdana Menteri, Duta Besar Malaysia di Washington telah dipanggil oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) yang mempersoalkan keputusan Malaysia berhubung Israel khususnya keganasan terhadap Gaza.
“Duta besar kita (bagaimanapun) tegas menyatakan pendirian kita dan oleh kerana keengganan kita untuk membantah tindakan Hamas dan menganggap Hamas sebagai pengganas, maka saya juga dapat maklumat dan melalui Kementerian Luar telah menerima `demarche’ iaitu tata tindak dari kedutaan AS dua kali.
“Kali pertama pada 13 Oktober dan kali kedua pada 30 Oktober meminta supaya negara (Malaysia) tidak meneruskan dengan pendirian terutama keengganan kita untuk menganggap Hamas sebagai badan pengganas,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE