KUALA LUMPUR – Hasil lawatan kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke beberapa buah negara antara perkara yang dijangka mendapat perhatian pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Berdasarkan Aturan Mesyuarat Dewan Rakyat, Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) akan bertanyakan tentang perkembangan lawatan kerja Perdana Menteri ke Arab Saudi, Turkiye dan Mesir berhubungan dengan serangan Israel ke atas Gaza.
Beliau akan turut bertanya apakah bentuk ancaman yang diterima oleh Malaysia daripada negara-negara barat yang menyokong Israel susulan pendirian Malaysia terhadap Palestin.
Selain itu, Suhaizan mahu tahu apakah langkah-langkah yang bakal diambil oleh Malaysia bagi menghadapi segala ancaman berkenaan supaya tidak memberi kesan besar terhadap rakyat dan ekonomi negara.
Sementara itu, Datuk Wira Dr. Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) meminta Perdana Menteri menyatakan strategi dan langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan bagi memitigasi nilai eksport yang menurun.
Menurut beliau, nilai eksport menurun sebanyak 8.4 peratus bagi tempoh Januari hingga September 2023 berbanding tempoh yang sama bagi tahun 2022 dan dijangka berterusan hingga akhir tahun 2023.
Beliau turut bertanyakan mengenai jumlah pelaburan dan jenis sektor industri yang akan dilaksanakan oleh pelabur-pelabur dari Amerika Syarikat, United Arab Emirates (UAE) dan Arab
Saudi hasil lawatan Perdana Menteri ke negara berkenaan baru-baru ini. – KOSMO! ONLINE