PETALING JAYA – Pasangan pengantin baharu, Sabri Yunus dan isterinya Nur Ardini Angeline Tan terus mendapat perhatian ramai apabila tampil dalam klip video terbaru yang mempromosikan satu jenama kambing perap tempatan.
Klip video yang dilakonkan oleh pasangan tersebut dikatakan lebih ‘laku’ jika dibandingkan dengan pelakon sebelum ini iaitu bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Difahamkan, hanya satu jam dikeluarkan hari ini, klip video tersebut telah mendapat tanda suka lebih daripada 10,000.
Ternyata, lakonan pasangan tersebut masih lagi ‘menjadi’ dan kemesraan pasangan pengantin baharu itu juga dirasai para peminat mereka menerusi klip video tersebut.
Rata-rata pengguna media sosial memuji kehebatan dua pelakon veteran tersebut dan ada yang menyifatkan aura sitkom yang pernah dilakonkan pasangan tersebut, Pi Mai Pi Mai Tang Tu masih kuat.
“Ingat KJ (Khairy Jamaluddin) punya yang paling ‘power’, ini lagi ‘win’,” jelas Mahasrey Muhamad.
“Ternyata lakonan abang Sabri dan kak Angeline Tan lagi hebat, betul lah lakonan mereka berdua masih ada aura dia. Teringat pula dekat rancangan Pi Mai Pi Mai Tang Tu dulu,” kata Adzhar Suliman.- KOSMO! ONLINE.