DUDUK sebaris dengan bintang bola sepak terkenal Cristiano Ronaldo dan pasangannya, Georgina Rodríguez menyaksikan perlawanan tinju antara Tyson Fury dan Francis Ngannou, kehadiran aktor Bollywood, Salman Khan menuai perhatian ramai.
Menerusi hantaran sebuah video yang tular dalam TikTok, difahamkan aktor tersebut berada di Riyadh, Arab Saudi untuk mempromosikan filem terbaharu berjudul Tiger 3 sebelum singgah menonton perlawanan terbabit.
Susulan itu, rata-rata netizen membanjiri ruangan komen dengan menyifatkan pertemuan tersebut sebagai pertembungan individu hebat yang tidak dijangka.
Bagaimanapun, ada juga netizen yang berpendapat Salman Khan kelihatan kerdil apabila duduk berhampiran Cristiano Ronaldo baik aspek pengaruh mahupun populariti.
“Pemain bola sepak terhebat dan pelakon terbaik namun dapat dilihat bahawa Salman bukan sesiapa apabila duduk sebaris dengan Cristiano Ronaldo. Nampak kecil statusnya meskipun dia sangat popular,” komen netizen.
“Satu pertemuan yang tidak dijangka, masing-masing mempunyai pengaruh tetapi jelas kelihatan Cristiano Ronaldo jauh lebih popular berbanding Salman,” kata seorang lagi netizen.
Menurut satu laporan, selepas acara perlawanan tersebut selesai, Salman Khan yang ditemani pengawal peribadi bergegas ke Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Khalid, Riyadh untuk kembali ke India.
Di samping memenuhi komitmen seninya, pelakon berusia 57 tahun itu kini sibuk mengelilingi dunia mempromosikan Tiger 3 yang turut dibintangi Katrina Kaif.
Filem arahan Maneesh Sharma itu bakal menggegarkan pawagam bermula 12 November depan dalam bahasa Hindi, Tamil dan Telugu.
Treler filem itu memaparkan Salman sebagai ejen terkemuka India, Tiger dalam misi melindungi keluarganya dan negara daripada musuh yang dilakonkan Emraan Hashmi. – KOSMO! ONLINE