LIVERPOOL – Penyerang Liverpool, Diogo Jota memegang jersi No. 7 milik Luis Diaz sebagai penghormatan buat rakan sepasukan ketika menang 3-0 ke atas Nottingham Forest di Anfield kelmarin.
Diaz terlepas aksi Liga Perdana Inggeris selepas mendapat berita ibu bapanya diculik di Colombia dan dijadikan tebusan oleh penjenayah bermotosikal.
Presiden Colombia, Gustavo Petro mengesahkan, ayah pemain sayap berusia 26 tahun itu masih gagal dikesan tetapi ibunya, Cilenis Marulanda berjaya diselamatkan kelmarin.
Pihak polis Colombia menawarkan ganjaran sebanyak £39,938 (RM230,252) kepada mana-mana individu yang memberikan maklumat untuk membantu menyelamatkan ayah Diaz.
Menteri Dalam Negeri Colombia, Luis Fernando Velasco berkata, pihaknya menerima satu panggilan sebelum memaklumkan kepada komander polis, General Salamanca yang pergi untuk menyelamatkan ibu Diaz.
“Tindakan pasukan awam untuk menghalang jalan supaya penculik gagal memindahkan ayah Luis Diaz ke Venezuela, itu hipotesis pertama kami. Jadi saya minta rakyat laporkan jika mereka tahu apa-apa,” katanya.
Sementara itu, pengurus Liverpool, Jurgen Klopp mengakui terpaksa membuat pertukaran saat akhir sebelum aksi menentang Forest disebabkan situasi sukar sedang dialami Diaz.
“Ia satu situasi yang membimbangkan. Jujurnya saya tidak pernah alami dan ini satu pengalaman baharu yang saya harap tidak berlaku lagi,” jelasnya.
Liverpool menewaskan Forest hasil jaringan Jota, Darwin Nunez dan Mohamed Salah bagi merekodkan kemenangan ketujuh EPL untuk berada di kedudukan keempat ketika ini. – AGENSI