MANCHESTER – Pengurus Manchester United, Erik ten Hag mengakui kekalahan 3-0 kepada seteru setempat, Manchester City, awal pagi semalam menjadi detik paling buruk sepanjang kariernya di Old Trafford.
Walaupun Red Devils turut alami beberapa lagi keputusan buruk ketika menentang kelab lain, Ten Hag sedar kekecewaan kali ini adalah lebih teruk dan cukup dirasai.
“Sudah pasti ia mengecewakan terutamanya apabila melihat cara kami tewas. Pada babak pertama, kami bermain dengan baik namun sepakan penalti Haaland jelas merubah segalanya.
“Kemudiannya pada separuh masa kedua, kami ambil pendekatan lebih menyerang, namun kami bolos terlalu awal. Daripada detik itu ia menjadikan perlawanan ini makin sukar,” katanya.
Pada perlawanan semalam, bintang Norway, Erling Haaland menjadi watak penting kepada Man. City apabila meledak dua gol diikuti satu jaringan daripada Phil Foden.
Lima kekalahan dalam 10 aksi awal dicatatkan pasukan ketika ini adalah kali pertama dialami Red Devils sejak 1986 sekaligus meletakkan United di tangga kelapan Liga Perdana Inggeris, sekadar raih 15 mata.
Ia juga adalah kekalahan ketujuh United dalam semua 14 perlawanan di semua pertandingan musim ini namun Ten Hag percaya pasukannya kini mula menunjukkan peningkatan.
“Permulaan kami agak sukar tetapi sekarang bertambah baik kerana apabila pemain yang cedera sudah kembali, ia akan menjadikan pasukan lebih kuat.
“Kami perlu lebih sabar namun disebalik keputusan ini, saya tetap gembira kerana pemain yang cedera sudh kembali. – AGENSI