KUALA LUMPUR – Datasonic Group Berhad (Datasonic), penyedia penyelesaian teknologi, komunikasi dan informasi (ICT) berasaskan keselamatan terkemuka, komited untuk memacu inovasi dan transformasi digital dalam pembangunan modal insan.
Ketua Projek Khas Datasonic, Datuk Syahril Abdullah berkata, syarikat itu telah berganding bahu dengan Virtual Tech Frontier, pemain dinamik dalam landskap teknologi maya untuk menghasilkan penyelesaian tercanggih yang akan mengubah cara organisasi mendekati pembangunan tenaga kerja.
“Perkongsian ini memainkan peranan penting dalam menunjukkan aplikasi dunia sebenar teknologi Metaverse dalam bidang sumber manusia,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan bersempena Persidangan dan Pameran Modal Insan Kebangsaan 2023 (NHCCE 2023) yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa (MITEC) di sini.
Syahril berkata, penyertaan Datasonic di NHCCE 2023 adalah bukti komitmennya untuk memacu inovasi dan transformasi digital dalam pembangunan modal insan.
Tambah beliau, syarikat Datasonic mempamerkan penyelesaian Metaverse Termaju iaitu yang membolehkan organisasi mewujudkan persekitaran pembelajaran dan pembangunan yang mengasyikkan untuk pekerja mereka.
“Penyelesaian ini memanfaatkan realiti tambahan, realiti maya dan gamifikasi untuk meningkatkan pengalaman pembelajaran,” ujarnya.
Syahril berkata, dengan menyertai NHCCE 2023, Datasonic berhasrat untuk menjelaskan potensi besar yang ditawarkan Metaverse dalam merevolusikan pelbagai sektor, termasuk pembangunan modal insan.
“Penyelesaian inovatif syarikat bertujuan untuk memperkasakan organisasi untuk melibatkan diri, mendidik dan mengembangkan tenaga kerja mereka dengan cara yang menarik dan dinamik,” ujarnya. -KOSMO!ONLINE