PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan ribut petir, hujan lebat dan angin kencang hampir di seluruh negara, malam ini.
Menurut laporan MetMalaysia di laman Facebook, cuaca buruk tersebut bakal berlarutan sehingga pukul 7 petang, hari ini.
“Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka melanda seluruh negeri Perlis, Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Putrajaya.
“Cuaca sama juga diramal di Kulim dan Bandar Baharu, Kedah, serta di Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Manjung, Perak Tengah, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim, Perak,” katanya dalam hantaran sama.
Di Negeri Sembilan, hujan lebat diramal berlaku di Seremban dan Port Dickson, manakala di Johor, cuaca sama bakal melanda beberapa kawasan di Segamat, Batu Pahat, Kluang, Pontian, Kulai dan Johor Bahru.
“Di Sarawak, hujan lebat diramal berlaku di Sri Aman (Sri Aman), Betong (Betong), Sarikei (Pakan dan Julau), Kapit (Kapit) dan Bintulu (Tatau dan Sebauh).
“Manakala di Sabah, cuaca buruk dijangka melanda Pedalaman (Tambunan), Pantai Barat (Putatan, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran, Ranau dan Kota Belud), Tawau (Lahad Datu), Sandakan (Kinabatangan) dan Kudat (Kota Marudu dan Kudat),” katanya.
Tambah MetMalaysia, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimiter sejam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam. – KOSMO! ONLINE