fbpx

K2

Klinik bergerak kesan awal kanser

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pendidikan pemeriksaan payudara sendiri turut disebarkan kepada masyarakat pada program Klinik Kesihatan dan Kesejahteraan Bergerak itu.

KESEDARAN tentang pemeriksaan kesihatan bagi mengesan penyakit-penyakit berbahaya seperti kanser perlu sentiasa diperkukuh oleh pelbagai pihak bagi memastikan ia boleh dicegah atau dikesan awal.

Pengesanan awal bukan sahaja membantu seseorang untuk lebih memahami penyakit yang dihidapi, malah ia juga boleh membantu mengelakkan penyakit tersebut daripada bertambah buruk, selain boleh menyelamatkan nyawa.

Justeru, sebagai langkah proaktif dalam menerajui program saringan kesihatan di ibu kota, Hospital Pantai Ampang bersama Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) serta Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) baru-baru ini telah menganjurkan Klinik Kesihatan dan Kesejahteraan Bergerak selama dua hari bagi menawarkan khidmat saringan kesihatan kepada masyarakat.

Program diadakan pada 24 dan 25 Oktober lalu.

‘Klinik bergerak’ tersebut telah dibuka di Dewan Orang Ramai Persatuan Penduduk Pandan Jaya, Fasa 2 Pandan Jaya dan di Dewan Serbaguna MPAJ di Taman Keramat.

Seramai 100 orang awam dari kawasan berhampiran telah hadir ke program saringan tersebut.

Klinik bergerak itu merupakan inisiatif secara menyeluruh yang dianggotai oleh kakitangan penjagaan kesihatan profesional dari Hospital Pantai Ampang dan sukarelawan dari NCSM.

Program itu bertujuan menyediakan perkhidmatan kesihatan merangkumi pemeriksaan kesihatan primer, pendidikan tentang pemeriksaan payudara sendiri, pemantauan tekanan darah serta pemeriksaan glukosa dan kolesterol.

penganjur program meliputi pihak Hospital Pantai Ampang, MPAJ serta NCSM bergambar kenangan bersama penduduk.

Selain itu juga menyediakan perkhidmatan analisis komposisi badan secara percuma, rundingan perubatan dan pendidikan tentang pemeriksaan payudara yang ditawarkan sempena kempen Pink October dalam Bulan Kesedaran Kanser Payudara.

Malah, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) turut mengambil bahagian dalam acara tersebut yang mana wakilnya turut memberikan panduan tentang perlindungan penjagaan kesihatan yang disediakan untuk wanita.

Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pantai Ampang, Chong Soon Mei berkata, matlamat hospital itu untuk menerajui usaha masyarakat telah menjadi bukti keprihatinan mereka.

“Menerusi kerjasama dengan NCSM dan MPAJ, kami komited untuk menyerlahkan kepentingan pendidikan kesihatan dan pengesanan awal penyakit bagi meningkatkan kesejahteraan hidup masyarakat,” katanya.

Selain perkhidmatan penjagaan kesihatan, NCSM juga menyediakan meja maklumat untuk menyampaikan topik kanser dan kanser payudara kepada pengunjung.

Persatuan itu turut mengedarkan maklumat penting tentang pemeriksaan payudara sendiri serta baucar untuk pemeriksaan mamogram percuma di NCSM.

Sebanyak 80 peratus daripada pengunjung terdiri daripada mereka yang berumur 45 tahun dan ke atas yang mana 40 peratus daripada mereka diklasifikasikan sebagai mempunyai berat badan berlebihan dan anggaran 50 peratus pula berdepan dengan pelbagai masalah kesihatan lain.

Klinik itu juga berjaya mengesan dua orang wanita yang mempunyai ketulan, namun tidak pernah mendapatkan rawatan.

Kedua-dua mereka telah diberikan panduan oleh profesional penjagaan kesihatan di klinik bergerak tersebut untuk langkah seterusnya.

Eksekutif Kesihatan Awam NCSM, Mohamad Ishak Ahmad berkata, pihaknya berhasrat mahu meningkatkan kesedaran dalam kalangan orang awam tentang bahaya kanser payudara.

“Kami ingin meningkatkan kesedaran bahawa kanser payudara boleh dikesan awal dengan pemeriksaan sendiri terutamanya kepada mereka yang mungkin tidak menyedari sepenuhnya tentang penyakit itu.

“Usaha meningkatkan kesihatan masyarakat dengan mewujudkan klinik di lokasi seperti ini merupakan aspek penting dalam penjagaan kesihatan melalui pencegahan kerana ia menggalakkan penglibatan orang awam dan juga interaksi,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI