fbpx

Puting beliung ‘sedut’ air sawah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad termenung melihat kediamannya di Kampung Manggol Bongor, Pida 2, Kodiang, Kubang Pasu yang rosak dalam bencana puting beliung. – SHAHIR NOORDIN

JITRA – Seorang pekerja kontrak menggigil setelah melihat pusaran angin setinggi bangunan dua tingkat buat pertama kali dalam kejadian di Kampung Pida 2, Kodiang, dekat sini kelmarin.

Menurut Muhammad Shafir Ahmad, 33, insiden pukul 2.30 petang itu mengakibatkan rumah yang didiami bersama bapa, Ahmad Mahmud, 80, dan ibunya, Junah Man, 74, rosak teruk setelah angin kuat menerbangkan keseluruhan bumbung.

“Ribut dan angin kencang selalu terjadi di kawasan ini tetapi puting beliung ini kali pertama terjadi.

“Ketika kejadian saya sedang berehat di ruang tamu sebelum ayah panggil keluar kerana terdengar bunyi angin kuat. Bila keluar saya ternampak pusaran angin di kawasan sawah belakang rumah seolah-olah menyedut air,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Katanya, dia tergamam dan menggigil melihat pusaran angin tersebut.

“Memang menggerunkan, tak tahu nak cakap macam mana. Saya terus bawa ibu dan ayah berlindung di bahagian dapur rumah kami. Selepas itu angin kuat terus terbangkan bumbung rumah, bumbung semua hilang cuma tinggal di bahagian dapur saja, empat keping zink,” ujarnya.

Jelasnya, kejadian tersebut juga mengakibatkan ibunya mengalami trauma kerana pertama kali melihat puting beliung se­perti itu.

“Rumah kami rosak teruk de­ngan kerugian kira-kira RM50,000 kerana semua barang dalam rumah dan perkakasan elektrik rosak. Apa pun saya bersyukur kerana kami selamat,” katanya.

Sementara itu, menurut seorang lagi mangsa, Mohd. Zarul Aswad Zakaria, 30, dari Kampung Manggol Bongor, ribut tersebut juga mengakibatkan rumahnya rosak di bahagian bumbung.

“Ketika kejadian saya berada di luar sebelum menerima panggilan ibu saudara yang tidak berapa sihat di rumah. Bila sampai rumah, terduduk macam mahu pengsan lihat bumbung rumah hilang. Barang dalam rumah juga rosak terkena hujan,” katanya.

Dia berkata, ibu saudaranya, Nor Kartini Abu Seman, 52, yang turut menetap di rumah pusaka itu juga mengalami trauma sehingga terpaksa berpindah ke rumah adik-beradiknya.

“Ibu saudara saya yang saksikan sendiri kejadian itu. Ketika kejadian dia seorang sahaja di rumah. Bagaimanapun, alhamdulillah dia selamat,” katanya.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kubang Pasu, Kapten (PA) Mohd Adenin Suhaimi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.45 petang kelmarin.

“Kejadian menjejaskan tiga rumah yang didiami 15 penghuni di Kampung Pida 3, 4 dan Kampung Manggol Bongor, di sini namun tiada kecederaan,” tambahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI