fbpx

‘Letihlah macam ini…’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SAROJA ketika membersihkan lumpur di ruang tamu rumahnya yang berpunca banjir kilat di Taman Min Terk, Sungai Petani kelmarin.

SUNGAI PETANI – Penduduk taman perumahan di sini mengeluh apabila terpaksa mencuci semua barangan di dalam rumah akibat terendam air berlumpur dalam kejadian banjir kilat kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7 malam itu, rata-rata penduduk tidak sempat menyelamatkan barangan dalam rumah kerana kejadian berlaku terlalu pantas.

Penduduk Taman Min Terk, di sini, T. Saroja, 59, berkata, dia berasa amat letih kerana terpaksa me­nimba air yang bertakung dalam rumahnya semalam.

“Teruklah macam ini kerana air bercampur dengan lumpur, saya terpaksa membersihkan rumah ini seorang diri kerana dua anak tinggal di luar daerah.

“Kali ini lumpur terlalu tebal sehingga menyukarkan kerja-kerja membersih rumah. Perabot juga ada yang basah akibat terendam air,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Mangsa banjir kilat di Taman Sari, Rubiah Othman, 65, berkata, walaupun telah membuat penghadang di hadapan pintu rumahnya, limpahan air masih memasuki rumahnya menyebabkan banyak barang rosak.

“Kejadian banjir kilat petang semalam (kelmarin) berlaku terlalu pantas apabila air mula memasuki rumah kira-kira pukul 7 malam selepas hujan lebat pada pukul 5.30 petang,” ujarnya.

PENDUDUK membersihkan peralatan rumah yang ditenggelami air lumpur akibat banjir kilat di Taman Sari, Sungai Petani semalam.

Azizah Ismail, 65, pula berkata, kawasan rumahnya yang terletak berdekatan sebatang anak su­ngai menyebabkan rumahnya antara yang terawal dimasuki air.

“Memang kerap berlaku banjir kilat di kawasan kejiranan ini tetapi kali ini agak teruk kerana turut membawa lumpur.

“Kami terpaksa berhabis masa untuk mencuci barangan yang terendam di dalam air berlumpur ini. Kerja ini amat memenatkan terutama bagi warga emas seperti kami,” tambahnya.

Banjir kilat petang kelmarin mengakibatkan empat mukim iaitu Gurun, Sungai Petani, Su­ngai Pasir dan Sidam Kiri terjejas.

Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Muda, Kapten (PA) Azahar Ahmad berkata, tiga pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka sejak malam kelmarin.

“PPS di Dewan UMNO Kampung Bukit Belah kini menempatkan seramai 20 mangsa daripada enam keluarga, manakala PPS di Dewan SJK (C) Min Terk menempatkan seramai 84 mangsa daripada 28 keluarga.

“PPS Dewan Masjid Al-Huda, Kampung Jerung, Sidam Kiri menempatkan enam sekeluarga dengan jumlah keseluruhan mangsa setakat ini 110 mangsa daripada 35 keluarga di tiga PPS tersebut,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI