LEBIH 8,000 rakyat Palestin dilaporkan telah terkorban, manakala 22,000 lagi cedera dalam serangan udara Israel.
Rejim Zionis menjadikan Hamas sebagai alasan untuk mewajarkan ‘pembunuhan’ manusia besar-besaran.
Namun, terkilat ikan di air, sudah tahu jantan betinanya, apatah kebinatangan Zionis. Niat sebenar sudah terang lagi bersuluh.
Keghairahan Zionis mahu membunuh serta menghapus belum berakhir dengan melancarkan serangan darat.
Apakah kemusnahan dan kesedihan bakal disaksikan seterusnya di bumi Paletin, masa jua menentukan.
Bagaimanapun, ada perkembangan yang tidak kurang penting untuk diteliti di sebalik ‘kekejaman’ tidak bernoktah rejim Zionis.
Susulan serangan buas Israel, kerajaan Arab Saudi dilaporkan telah menangguhkan rundingan normalisasi.
Rundingan normalisasi antara Arab Saudi dengan Israel yang diterajui oleh Amerika Syarikat (AS) sejak 2020.
Walhal beberapa minggu sebelum konflik tercetus, Arab Saudi baru saja mendedahkan kemajuan usaha normalisasi dengan Israel.
Israel malah sudah pun menandatangani hubungan normalisasi dengan Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Bahrain dan Sudan.
Seharusnya penangguhan yang dilaporkan AFP itu adalah faktual kerana normalisasi dunia Arab dengan Israel teramatlah pelik.
“Memang pelik. Normalisasi Israel dan negara-negara Arab memang pelik,” tegas Pengarah Pusat Pengajian Palestin Hashim Sani Universiti Malaya, Prof Dr. Nazari Ismail.
Beliau ketika dibubungi Kosmo! berkata, normalisasi itu bermaksud mengiktiraf, menjalin hubungan diplomatik dan perdagangan dengan Israel.
“Implikasi normalisasi juga seolah-olah merestui kezaliman Israel, menceroboh tanah Palestin dan Masjid Al-Aqsa.
“Tetapi sekarang ini Israel sedang membunuh beribu umat Palestin menjadikan normalisasi itu bertambah pelik.
“Mengapa perlu normalisasi? Malaysia tiada sebarang hubungan dengan Israel tiada masalah pun,” katanya.
Justeru, katanya, adalah wajar negara Arab membatalkan normalisasi atau apa sahaja usaha ke arah normalisasi dengan Israel.
Ujar beliau, negara Islam yang ada hubungan diplomatik dengan Israel juga wajar menamatkan hubungan serta-merta.
Namun, Nazari tidak pasti sama ada serangan Hamas pada 7 Oktober lalu sememangnya bermotif menggagalkan normalisasi.
“Apa pun semua bentuk hubungan dengan Israel pembelotan kepada perjuangan umat Islam Palestin sejak sekian lama,” katanya.
Pegawai kanan Hamas pernah mengakui, kumpulan itu menyedari akibat bakal diterima rakyat Palestin selepas menyerang Israel.
“Kami menyedari kesan yang akan berlaku selepas serangan 7 Oktober, kami tahu apa yang akan berlaku.
“Tapi, kami tidak boleh terus berdiam dan membiarkan Zionis terus menjajah Palestin, menindas rakyat kami.
“Ini (serang Israel) merupakan satu daripada cara untuk beritahu dunia yang Palestin sanggup lakukan apa sahaja untuk bebas daripada cengkaman Zionis,” katanya.
Persoalannya, apakah negara Islam terlibat untuk membatalkan normalisasi dengan Israel selepas menyaksikan kebinatangan Zionis, sekali lagi masa akan menentukan.