fbpx

Konflik Palestin-Israel: Pertempuran di Gaza makin sengit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Peluru meriam membedil kawasan utara Semenanjung Gaza pada waktu senja kelmarin. - Foto EPA

BANDAR GAZA – Pejuang ­Palestin melancarkan serang hendap di wilayah Israel di belakang barisan tentera Rejim Zionis di antara Erez dan Netiv HaAsara, lapor portal berita The Palestine Chronicle kelmarin.

Sayap tentera Hamas, Briged Al-Qassam berkata, pihaknya telah memusnahkan dua kende­raan tentera Israel dengan peluru mortar dekat Beit Lahia di Gaza.

“Briged Al-Qassam membedil lokasi Zionis, Erez dengan peluru mortar dan roket untuk memutuskan bantuan kepada kende­raan tentera Israel yang terbakar di sekitar kawasan itu.

“Pejuang-pejuang Briged Al-Qassam mengesahkan bahawa beberapa kenderaan yang di­sasarkan di sebelah barat Erez terbakar dan askar yang berada di dalamnya dihapuskan,” kata kenyataan briged itu di platform Telegram

Pejuang Palestin juga melepaskan tembakan ke arah tentera Israel yang masih ditempatkan di sebelah pagar Israel dari tiga lokasi berbeza di utara Gaza.

Lokasi itu ialah Beit Hanoun, Beit Lahia dan Atatra.

Dalam perkembangan sama, askar-askar Israel dilaporkan dapat mara hanya beberapa ratus meter di Semenanjung Gaza.

Terdahulu kelmarin, Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu memberitahu bahawa tentera Zionis melancarkan fasa ke­dua perang menentang Hamas dengan mengerahkan tentera daratnya ke Semenanjung Gaza dan meluaskan serangan dari darat, udara dan laut menyasarkan wilayah Palestin itu.

Perang bermula pada 7 Oktober lalu selepas pejuang Hamas melancarkan lebih 5,000 roket ke arah Israel sebelum Rejim Zionis melancarkan kempen serangan udara dan disusuli serangan darat di Gaza.

Serangan Hamas yang menyasarkan selatan Israel pada 7 Oktober lalu menyebabkan 1,400 penduduk Israel dan warga ­asing terbunuh, manakala 230 yang lain ditawan dan dijadikan tebusan di Gaza.

Tentera Israel membalas dengan melancarkan serangan udara besar-besaran ke atas Gaza yang menurut sebilangan pegawai perubatan, telah membunuh lebih 8,000 penduduk Palestin, manakala separuh daripada mereka ialah kanak-kanak.

Sebahagian besar mangsa di kedua-dua pihak pula terdiri ­daripada orang awam

Sementara itu, lima hari selepas perang Israel-Hamas tercetus di Gaza, penduduk kampung Badwi Wadi al-Seeq di wilayah Tebing Barat berkata, berpuluh-puluh askar Israel datang ke kampung itu dan memberi masa satu jam untuk mereka meninggalkan kampung halaman.

Antara yang memberikan amaran tersebut ialah peneroka haram Yahudi, tentera dan polis Israel.

Tentera Israel tidak menge­luarkan sebarang ulasan mengenai kejadian itu, walaupun diminta berbuat demikian oleh agensi berita AFP.

Seminggu selepas pengusiran berlaku, tentera Israel membenarkan penduduk kampung pulang dan mengambil barang-barang mereka tetapi apabila mereka kembali, semuanya didapati rosak binasa.

“Semuanya musnah. Beg makanan untuk haiwan ternakan dibuang ke tanah,” kata seorang pemimpin Wadi al-Seeq. Ia merupakan perkampungan pengembala Palestin yang terletak kira-kira 10 kilometer ke timur Ramallah.

Dia kini berlindung dengan 12 ahli keluarga lain di tanah persendirian di Taybeh, lebih jauh ke utara Tebing Barat.

Koresponden AFP mendapati rumah-rumah di kampung itu digeledah dengan almari pakaian dikosongkan, katil kanak-kanak dipecahkan, langsir koyak, manakala kertas, sandal dan mainan bertaburan di atas lantai.

Menurut wartawan AFP, di sekitar dan dalam kampung itu, sejumlah kenderaan dilihat mengibarkan bendera Israel.

Sejak perang Gaza meletus, serangan peneroka haram Yahudi terhadap warga Palestin me­ningkat lebih dua kali ganda, daripada purata tiga hingga lapan insiden sehari, kata Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA).

“Ia bagaikan mimpi ngeri,” kata Alia Mlihat yang tinggal di Muarrajat, sebuah lagi kampung Badwi antara Ramallah dan Jericho. – AGENSI/AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI