PETALING JAYA – Seorang paramedik di Palestin tidak dapat menahan sebak sewaktu menceriakan seorang bayi perempuan berusia tiga bulan yang diselamatkan selepas pengeboman rejim Zionis Israel.
Video tersebut tular di media sosial selain dikongsikan pada Instagram Cinta Gaza Malaysia sekali gus meruntun jiwa rakyat Malaysia yang sedih dengan usaha lelaki itu menceriakan bayi tersebut di dalam ambulans.
Pada mulanya paramedik tersebut dikenali sebagai Ahmed Awad yang sedang memangku bayi itu kelihatan seperti berbual-bual, namun secara tiba-tiba dia tidak dapat menahan sedih selain mengelap air mata menggunakan lengan baju.
Selain mereka berdua, turut kelihatan dalam ambulans itu seorang lagi bayi bersama seorang lagi paramedik lelaki.
“Bila paramedik mula menangis. Paramedik Ahmed Awad membelai seorang bayi perempuan berusia tiga bulan dan tidak menahan sebak semasa menyelamatkan bayi ini daripada pengeboman rejim Zionis di bandar Khan Yunis,” menurut kapsyen Cinta Gaza Malaysia.
Sementara itu, ramai mendoakan keselamatan paramedik dan petugas perubatan di Palestin serta rakyat di sana daripada terus diserang rejim Zionis Israel.
“Sesungguhnya Allah akan angkat darjat paramedik dan doktor. Insya-Allah ranking yang paling tinggi di syurga,” kata jannahheaven.
“Ya Allah aku dah kehabisan kata-kata. Air mata mengalir. Sebak rasa jangan cakaplah. Lindungi anak-anak kecil yang tak berdosa ni ya Allah,” komen nazhadaniesha.
“Ya Allah selamatkan kesemua penduduk syurga. Tak mampu hambamu menolong. Hanya kebesaranmu ya Allah,” ujar nanihassan79. – KOSMO! ONLINE