fbpx

Inspirasi gaya penuh ekspresi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara seleksi gaya penuh ekspresi.

Kini yang pasti paling menjadi keutamaan adalah gaya ekspresi individu. Gaya luahan rasa yang menyerlahkan keperibadian si pemakainya. Sememangnya aliran fesyen memberikan kita pelbagai panduan untuk memantapkan gaya supaya lebih menarik, yakin dan kreatif terutama apabila berhadapan dengan masyarakat. Paling penting, kita perlu bijak memilih. Kali ini saya titipkan aliran gaya yang boleh dijadikan inspirasi bagi penampilan penuh ekspresi dari siang hingga malam.

 

Gaun
Bagi musim ini, pereka menghasilkan gaun yang kaya dengan dekorasi dan perincian. Gaun pelbagai variasi warna dan mewah itu dihiasi ropol, tatahan labuci dan manik.
Bagi yang mahukan kelainan, dapatkan gaun yang penuh kilauan labuci dan kristal. Ia sudah cukup berkilau dan tidak perlu penambahan barang kemas. Gaun syif yang berlabuci dapat menampilkan gaya anggun dan klasik. Pasti menyerlahkan anda dan memikat sesiapa yang memandang.

Satin
Bagi yang gemarkan fabrik satin, untuk lebih anggun, elakkan aksesori berlebihan. Istimewanya satin ia tidak perlu aksesori berlebihan dan indah digayakan siang hingga ke malam. Untuk lebih menyerlah keanggunannya, pilih satin rona permata. Perlu diingat rekaan perlu sederhana untuk lebih menyerlah.

Skirt
Skirt kembang mempunyai kuasa untuk memberikan ilusi bentuk yang lebih menarik. Ia cukup menarik dalam rekaan yang pelbagai. Ia juga boleh menyembunyikan paha yang besar dan punggung yang lebar. Apa yang penting anda perlu bijak memilih rekaan sesuai dengan bentuk tubuh.

Wajah
Bagi yang berkemampuan dapatkanlah rawatan urutan wajah, ia sedikit sebanyak dapat menenang dan mengurangkan tekanan serta melambatkan proses penuaan pada wajah. Perasaan tenang dapat memberikan kita keyakinan yang sebenarnya adalah kunci asas untuk kelihatan hebat.

Seluar
Rekaan seluar potongan lebar dengan perincian menarik dapat memberikan penumpuan pada bahagian bawah pinggang. Anda boleh bereksperimen dengan lipatan (pleats) tetapi elakkan lipatan yang lebar jika anda agak rendah dari segi ketinggian. Pilihan fabrik satin perlu dielakkan jika anda tidak berani bereksperimentasi. Padankan seluar yang sememangnya punyai aura maskulin dengan blaus feminin. Antara rekaan menarik adalah blaus diperbuat daripada sifon dengan kolar Peter Pan dan lengan gelembung.
Untuk lebih gaya, padankan seluar rona terang dengan blaus bercorak. Anda boleh bereksperimentasi dengan kombinasi warna tetapi jangan keterlaluan, kerana takut nampak pelik.

Blaus
Blaus sama ada potongan longgar dan besar atau yang sama padan dengan bentuk badan hasil dari potongan dan jahitan yang rapi dan kemas adalah antara gaya rekaan yang penting dan menarik sealiran trend.
Pelbagai variasi potongan antaranya gaya desa (peasant) dengan lengan besar, lengan puffed, manakala kemeja oxford pula dipotong besar dari kebiasaan. Kini antara gaya yang paling menyerlah adalah gaya maskulin atau girly.

Corak
Reka corak flora yang ringkas adalah antara pilihan tepat untuk gaya pagi hingga malam. Sememangnya reka corak ini cukup kontemporari, segar, feminin dan romantik serta sesuai digayakan oleh semua wanita.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI