fbpx

Mahkamah: Dua rakan terlepas hukuman mati, saksi penting ‘hilang’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SHIAU BOON dan Book Boon (tengah) menzahirkan rasa syukur selepas terlepas daripada hukuman mati. - Foto oleh MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI/ KOSMO!

MELAKA – Dua rakan terlepas hukuman mati selepas Mahkamah Tinggi di sini, hari ini melepas dan membebaskan mereka atas pertuduhan memiliki pelbagai jenis racun dan mengedar dadah, lima tahun lalu.

Hakim Mohd. Radzi Abdul Hamid membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir pendakwaan terhadap tertuduh, Chua Shiau Boon, 48, dan Seow Book Boon, 48.

Beliau berkata, wujud kelompangan dalam kes tersebut apabila pihak pendakwaan gagal mengemukakan saksi penting iaitu Chan Eng Chin, 35.

“Pelbagai cara telah dilakukan untuk mengesan Eng Chin seperti menyiarkan di surat khabar dan semakan melalui imigresen, namun semuanya gagal.

“Asid deoksiribonukleik (DNA) pada puntung rokok dan cap jari yang ditemui pada dulang di dalam rumah yang disewa oleh Eng Chin juga tidak boleh mengaitkan kedua-dua tertuduh dengan milikan dadah berkenaan.

“Ini kerana terdapat cap jari pihak lain yang tidak dikenal pasti turut berada di rumah tersebut. Kedua-dua tertuduh juga tidak ditangkap di rumah itu sebaliknya di lokasi lain. Perbuatan mengedar dadah juga tidak dapat dibuktikan melalui keterangan pendakwaan. Oleh itu mahkamah berpuas hati pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie dan tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan,” katanya.

Shiau Boon dan Book Boon didakwa atas tujuh pertuduhan pindaan iaitu tiga pertuduhan memiliki kafein seberat 134 kilogram (kg) kafein, 2.5 kg chloroquine (dua pertuduhan) dan 1.248 kg nitrazepam dan 5.39 liter kloroform.

Dalam pada itu, Shiau Boon dan Book Boon turut didakwa atas satu pertuduhan pindaan mengedar dadah jenis heroin seberat 2.061 kg dan didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup.

Kesemua kesalahan itu dilakukan mereka kira-kira pukul 9.45 pagi di sebuah rumah bernombor di Tranquerah Residence, Jalan Tengkera dalam daerah Melaka Tengah pada 2 Oktober 2018. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI