fbpx

Selangor perlu ada kerangka sektor penjagaan tersendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Amirudin (duduk tengah) bersama sebahagian peserta simposium tersebut di Mardhiyyah Hotel & Suites, Shah Alam, hari ini.

SHAH ALAM- Selangor perlu mewujudkan satu kerangka khusus dalam sektor penjagaan kanak-kanak dan warga emas agar sektor itu dapat diselaraskan dengan baik di negeri ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerangka itu wajar diadakan bagi mengelak berlakunya insiden yang tidak diingini di pusat penjagaan.

Tambahan katanya, ini juga bagi mengelakkan berlakunya situasi wanita terpaksa berhenti kerja disebabkan kos pusat penjagaan anak yang mahal.

“Ekonomi penjagaan perlu diberi perhatian memandangkan jangka hayat penduduk Selangor adalah 77.3 tahun, iaitu 2.5 tahun lebih daripada jangka hayat nasional.

“Jadi, saya lihat perlu ada kerangka supaya wanita tidak perlu berhenti kerja bagi jaga anak-anak dan orang tua mereka,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Simposium Ekonomi Penjagaan Selangor (SEPS) 2023 di Mardhiyyah Hotel & Suites, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Amirudin berharap simposium yang diadakan pada hari ini dapat memperoleh pelbagai input daripada pelbagai pihak bagi mewujudkan kerangka berkenaan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari berkata, Selangor sebagai negeri termaju perlu mengambil langkah ke hadapan bagi mengiktiraf sektor penjagaan sebagai segmen penting dalam pembangunan negeri.

“Bagi merealisasikan hasrat ini, polisi dasar, inisiatif dan program sedia ada perlu ditambah baik secara berstrategi supaya aspek ekonomi dan penjagaan dapat diintegrasikan.

“Penglibatan pemegang taruh serta pakar bidang adalah sangat kritikal bagi membantu kerajaan negeri memformulasikan Kerangka Tindakan Ekonomi Penjagaan yang holistik dan mampan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI