PUTRAJAYA – Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, begitulah nasib malang dialami pemilik agensi pengurusan umrah, Emraz Travel and Tours (Emraz) selepas keretanya dicuri sekumpulan jemaah yang terkandas baru-baru ini.
Kereta Ketua Pegawai Eksekutif Emraz, Datuk Dr. Zulkarnain Endut bukan sahaja dicuri, malah dia turut diugut jemaah yang berang ekoran terkandas begitu lama.
Perkara tersebut didedahkan aktivis bebas yang juga penanggung sementara operator itu, Harik Fauzi ketika ditemui bagi mengulas pelan penjadualan dilakukan ketika ini.
Katanya, dia kesal dan sedih dengan insiden jenayah itu berikutan usaha pemulihan Emraz sedang berjalan lancar, namun ada jemaah tidak sabar bertindak keterlaluan.
“Kejadian itu berlaku awal pagi Jumaat lalu selepas mereka berdua bertemu seorang jemaah bagi membincangkan isu penerbangan yang tertunda. Setelah habis pertemuan, beliau pulang berasingan, manakala mangsa pergi ke kereta diletakkan berhampiran.
“Jemaah itu yang mengekorinya dengan beberapa orang tidak dikenali bertindak memegang baju mangsa sebelum membawa keretanya ke kawasan gelap tidak jauh dari situ,” jelasnya.
Katanya, Zulkarnain telah ditolak keluar dan diherdik dengan pelbagai tohmahan selain bajunya ditarik kuat sehingga terkoyak serta diberikan amaran berbaur ancaman.
“Mangsa juga diarahkan membuat pemindahan wang dan kemudian dipaksa mengeluarkan wang RM5,000 selain telefon bimbit dan kereta mangsa juga dirampas sebelum dia dihantar balik ke rumahnya di Presint 14,” katanya. – KOSMO! ONLINE