KUALA LUMPUR – Belum sampai tempoh matang 14 hari, pelakon jelita Amelia Henderson sudah menjelaskan ganti rugi nominal RM10,000 kepada syarikat produksi A.Aida Production Sdn. Bhd. berhubung isu pelanggaran kontrak sebuah drama melibatkan syarikat itu tahun lalu.
Perkara itu disahkan peguam Wan Nurliyana Abdul Rahman yang mewakili Amelia ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
“Amelia sudah membayar RM10,000 itu (seperti diperintahkan) pada Jumaat lalu, ” kata peguam itu.
Minggu lalu, Mahkamah Tinggi di sini dalam penghakiman rayuan Amelia memerintahkan selebriti itu tidak perlu membayar lebih RM200,000 kepada syarikat produksi tersebut sebaliknya hanya menjelaskan ganti rugi nominal RM10,000.
Sebelum ini, Amelia atau nama sebenarnya Amelia Thripura Henderson, 28, telah memfailkan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkannya membayar ganti rugi lebih RM200,000 kepada syarikat produksi A.Aida Production Sdn. Bhd pada 18 April lalu.
Antara alasan utama dalam rayuan itu, adalah terhadap keseluruhan keputusan Mahkamah Sesyen Sivil sebelum ini.
Pada 7 April lalu, Amelia diperintah membayar ganti rugi lebih RM200,000 terhadap syarikat produksi A.Aida Production Sdn. Bhd.
Hakim Zulqarnain Hassan memutuskan demikian selepas membenarkan tuntutan saman yang difailkan syarikat produksi itu selaku plaintif terhadap saman yang dikemukakan kepada Amelia selaku defendan.
Justeru mahkamah memerintahkan Amelia membayar ganti rugi am selain faedah 5% kepada plaintif yang kesemuanya berjumlah lebih RM200,000.
Bagaimanapun pada Ogos lalu, Amelia berjaya dalam permohonannya untuk menangguhkan permohonan maaf dan bayaran ganti rugi lebih RM200,000 terhadap syarikat produksi A.Aida Production. Mahkmah Sesyen Sivil itu membuat keputusan tersebut selepas membenarkan rayuan Amelia selaku pemohon.
Sementara itu, berhubung pembayaran ganti rugi lebih RM200,000, mahkamah turut membenarkan penangguhan bayaran tersebut.
Bagaimanapun mahkamah memerintahkan agar wang tersebut dimasukkan ke dalam akaun bersama yang akan dikendalikan oleh kedua-dua firma guaman yang mewakili syarikat produksi itu dan Amelia.
Untuk rekod sepanjang perbicaraan yang bermula 1 November tahun lalu, seramai tiga saksi daripada plantif termasuk A.Aida atau nama sebenarnya Datuk Zaidah Awang, 53, dan tiga saksi defendan termasuk Amelia sendiri hadir untuk memberi keterangan.
Sementara Amelia tetap dengan pendirian menafikan melanggar kontrak ketika dia menerima tawaran dan membintangi drama berjudul Sekali Lagi Cinta Kembali.
Sebelum ini media melaporkan Amelia dan pelakon Idris Khan berdepan dengan tindakan saman daripada A. Aida kerana didakwa melanggar kontrak perjanjian sebuah drama seperti yang sudah ditandatangani sebelum ini.
Bagaimanapun, saman melibatkan A.Aida dan Idris Khan berakhir dengan baik apabila kedua-dua pihak bersetuju menyelesaikannya di luar mahkamah sementara Amelia memilih untuk melawan kes saman itu. – KOSMO! ONLINE