KOTA BHARU – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan mengesan ramai pengusaha syarikat pengangkutan lori yang masih berdegil membawa lebih muatan tanpa memikirkan risiko keselamatan terhadap pengguna jalan raya yang lain.
Pengarah JPJ Kelantan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, berdasarkan statistik bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini, sebanyak 1,994 notis saman dikeluarkan terhadap kesalahan membawa lebihan muatan berbanding tahun lalu iaitu hanya 235 notis saman.
Menurutnya, kenderaan berat itu ditahan selepas JPJ mengadakan operasi di seluruh negeri bagi mengenal pasti pengusaha lori melanggar undang-undang.
“Kita dapati pengusaha lori masih berdegil dan ingkar dengan membawa muatan lebih had dibenarkan. Bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini, sebanyak 12,713 buah lori telah diperiksa.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 4,272 buah telah diambil tindakan. Sepanjang tahun lepas pula, jumlah lori yang diperiksa ialah sebanyak 2,138 buah, manakala 917 buah daripadanya telah diambil tindakan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Menurut Hanif Yusabra, kebanyakan kesalahan yang dilakukan pengusaha lori antaranya Seksyen 57(1)(b)(vi) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) yang boleh dikenakan hukuman dibawah Seksyen 57(3) akta yang sama.
Katanya, JPJ memandang serius kesalahan melibatkan pengusaha lori yang membawa lebihan kerana boleh memberi risiko kepada pengguna jalan yang lain.
Tambahnya, penguatkuasaan sentiasa dilakukan dari masa ke semasa untuk keselamatan pengguna jalan raya.-K! ONLINE