PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan cuaca cerah hampir di seluruh negara, pagi ini.
Menurut laporan MetMalaysia di laman Facebook, cuaca baik tersebut bakal berlarutan sehingga pukul 12 tengah hari, hari ini.
Bagaimanapun, cuaca dilaporkan mulai mendung di persisiran pantai Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Pahang.
“Di Semenanjung, hujan diramal berlaku di satu dua tempat di Terengganu, Pahang dan Johor serta di kawasan pedalaman Kelantan.
“Manakala, di Sabah, Met Malaysia meramalkan hujan di satu dua tempat di Sandakan, Kudat dan Wilayah Persekutuan Labuan,” katanya.
Tambah Met Malaysia, di Sarawak, hujan diramal berlaku di satu dua tempat di Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah, Kapit dan Bintulu. – KOSMO! ONLINE