fbpx

Bersatu dapat kebenaran lagi mula semakan kehakiman isu sita akaun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berjaya dalam permohonan keduanya untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perintah penyitaan akaunnya.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Kamal Md Shahid membuat keputusan itu secara dalam talian sekaligus akan mendengar permohonan merit berkenaan.

Pada 29 Mei lalu, Kapten (B) Datuk Muhammad Suhaimi Yahya, sebagai pegawai awam Bersatu memfailkan permohonan kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman bagi mencabar tindakan SPRM membekukan akaun banknya untuk siasatan.

Beliau menamakan Peguam Negara (ketika itu) Tan Sri Idrus Harun dan Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki masing-masing sebagai responden pertama dan kedua serta 20 individu lain sebagai responden ketiga hingga ke-22.

Bersatu mendakwa pada 19 April lepas, akaun bank CIMB dan AmBanknya disita tanpa sebarang perintah penyitaan dikeluarkan mengikut Seksyen 50(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Katanya, SPRM mengeluarkan kenyataan pada 20 April bahawa kedua-dua akaun itu disita pada 11 April tetapi tidak pernah memaklumkan kepada mereka mengenai tarikh tersebut.

Sebelum ini pada 30 Mei lalu, Bersatu juga berjaya dalam permohonan pertama untuk memulakan semakan kehakiman yang sama.

Mahkamah sama memutuskan demikian selepas mendapati permohonan Bersatu untuk mendapatkan kebenaran bagi semakan kehakiman bukan satu permohonan yang remeh dan menyusahkan.

Pada Mac lalu, Bersatu memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan SPRM yang membekukan akaun banknya bagi tujuan siasatan.

Permohonan itu difailkan peguam Datuk Muhammad Suhaimi Yahya dan Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi pihak parti di Mahkamah Tinggi di sini pada 8 Mac lalu.

Berdasarkan permohonan itu, parti itu mendakwa keputusan membekukan akaun bank itu dilakukan dengan niat jahat selain suruhanjaya itu menyalahgunakan kuasa mereka dengan menjalankan pendakwaan politik terpilih terhadap kepimpinan Bersatu Perikatan Nasional (PN).

Mereka juga memohon pengisytiharan mahkamah terhadap SPRM bahawa badan itu tidak boleh mengikut arahan pemimpin parti pemerintah yang berada dalam kerajaan atau mengikut arahan perdana menteri atau timbalan perdana menteri.

Ia yang mana meminta pegawai SPRM memulakan siasatan menyebabkan keluarnya perintah pembekuan yang didakwa salah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI