KONFLIK peperangan yang berlaku di Palestin ketika ini menjadi satu isu hangat yang diperkatakan di seluruh dunia.
Ketua Jabatan Syariah dan Ekonomi, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Dr. Mohd. Shahid Mohd. Noh berkata, sejak bermulanya konflik pada 7 Oktober lalu banyak nyawa penduduk Palestin telah terkorban serta ramai lagi cedera.
Jelasnya, ia disebabkan serangan rejim Zionis yang sememangnya menyasarkan penempatan awam, hospital dan masjid.
Menurutnya, peristiwa itu bukan sahaja memberi kesan mendalam kepada rakyat Palestin dari segi emosi, malah ekonomi dan keamanan.
“Bagaimanapun, sebagai orang yang sememangnya dilahirkan dalam suasana konflik dengan rejim Zionis, rakyat Palestin dilihat lebih bersemangat.
“Keyakinan mereka kepada Allah SWT tidak luntur dan mereka bersangka baik bahawa bantuan Allah akan tiba pada masa dijanjikan,” katanya.
Tambahnya, Allah berfirman dalam Surah al-Baqarah yang bermaksud, “Ketahuilah bahawa kemenangan Allah SWT itu amatlah hampir.”
Sekalipun dihujani peluru dan bom, dikelilingi dengan ratapan dan tangisan kematian orang yang tersayang, namun cinta mereka terhadap Islam dan tanah air lebih mahal berbanding nyawa serta harta benda.
Dalam pada itu, Mohd. Shahid menjelaskan, serangan berdarah atau siri ‘pembantaian’ terhadap rakyat Palestin bukanlah perkara baharu.
Katanya lagi, setiap kali rakyat Palestin diperlakukan secara kejam oleh rejim Zionis, ia akan
disambut dengan nada bersahaja oleh negara-negara Barat.
“Apabila Palestin diperlakukan sedemikian rupa dan dihalang hak asasi, negara Barat diam,” katanya.