LIVERPOOL – Anfield terus menghadirkan tuah buat Liverpool apabila terus kebal dengan rekod tanpa kalah di gelanggang sendiri dan kali ini berjaya tewaskan Nottingham Forest 3-0, sebentar tadi.
Tonggak tengah baharu, Dominik Szoboszlai dan Darwin Nunez menjadi antara pemain paling cemerlang pada perlawanan ini malah Mohamed Salah juga terus menyerlahkan kualiti dirinya.
Terdahulu, aksi berlangsung berat sebelah selepas Nottingham Forest tampil dengan corak bertahan dan membiarkan Liverpool melakukan serangan bertali arus.
Kesilapan pertahanan Nottingham Forest pada minit ke-29 hampir memberikan gol pertama buat The Reds sebaliknya rembatan jarak dekat Nunez menuju tepat ke arah penjaga gol lawan, Matt Turner.
Minit ke-31, Diogo Jota berjaya menempatkan diri di kedudukan terbaik untuk melakukan tindakan susulan bagi merobek gawang lawan dan selang empat minit selepas itu, Nunez akhirnya ceria untuk menyumbangkan gol kedua The Reds.
Skrip hampir sama berterusan di babak kedua dan sehingga minit ke-75, pelawat masih lagi buntu untuk mencipta percubaan tepat ke arah gawang Liverpool.
Ketika barisan pertahanan Nottingham Forest terus memberikan kesukaran kepada jentera serangan Liverpool, kesilapan Turner yang keluar dari kotak penalti dan kegagalannya menyekat hantaran jauh Szoboszlai mengundang padah apabila kesempatan itu membolehkan Salah meledak gol ketiga tuan rumah. – KOSMO! ONLINE