fbpx

10 ahli sindiket pembekal keldai akaun diberkas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ayob Khan (dua dari kiri) menunjukkan sijil pendaftaran syarikat tidak wujud yang digunakan sindiket bagi membekalkan kad ATM kepada sindiket penipuan.

JOHOR BAHRU – Polis Johor berjaya menumpaskan satu sindiket membekalkan keldai akaun kepada sindiket penipuan Macau Scam, pinjaman dan pelaburan tidak wujud apabila 10 ahlinya diberkas dalam dua serbuan berasingan di Taman Perling dan Tampoi di sini Rabu lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, 10 individu yang diberkas terdiri daripada tujuh lelaki dan tiga wanita tempatan berusia 19 hingga 41 tahun.

Menurutnya, ketua sindiket, Muhammad Raif Lee Abdullah, 38, dikenali sebagai Allan atau Frankie masih diburu dan dipercayai sudah melarikan diri atau bersembunyi dalam negara.

“Pada 18 November lalu, pihak kita melakukan tangkapan pada pukul 12.30 tengah hari ke atas tiga lelaki dan seorang wanita yang menaiki sebuah kereta di Taman Perling.

“Hasil soal siasat ke atas suspek membawa kepada serbuan kedua ke atas sebuah rumah di sekitar Tampoi sebelum menahan empat lelaki dan dua wanita,”katanya dalam satu sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Ayob Khan berkata, sindiket ini menggunakan modus operandi mengumpulkan kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) untuk dijual kepada sindiket penipuan Macau Scam, pinjaman dan pelaburan tidak wujud.

Jelasnya, anggota sindiket akan menyasarkan penagih dadah untuk dijadikan sebagai keldai akaun dengan bayaran sebanyak RM200 untuk setiap kad ATM.

“Setelah akaun berjaya dibuka, ahli sindiket akan menyerahkan kad ATM kepada ketua sindiket sebelum ahli diupah RM100 dan mangsa dibayar sebanyak RM200 untuk satu kad beserta nombor pin.

“Ketua sindiket akan menjual kad ATM tersebut kepada tiga sindiket penipuan iaitu Macau Scam, pinjaman serta pelaburan tidak wujud,”katanya.

Ujar Ayob Khan, sindiket ini dipercayai bergiat aktif sejak Februari lalu dengan melibatkan 91 kes di seluruh negara membabitkan kerugian RM3.74 juta.

Kesemua suspek positif dadah selain mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah serta kes penipuan.

“Polis kini memburu dan mengesan kedudukan ketua sindiket yang dipercayai melarikan diri dan alamat terakhir ialah No 03-07 Blok 3, Jalan Mewah Ria 2/2, Taman Bukit Mewah, Johor Bahru.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil menyalurkan informasi kepada balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Risikan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) IPK Johor, Asisten Superintendan Timmy Anak Aheng ditalian 019-7773728,”katanya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI