ROM, Itali – Seorang wanita Itali menang dalam kes mahkamah yang menuntut dua anak lelakinya berusia 40 dan 42 tahun agar keluar dari rumahnya di bandar Pavia baru-baru ini, lapor laman berita Oddity Central kelmarin.
Ibu berusia 75 tahun itu berbuat demikian kerana mereka tidak mahu meninggalkan kediamannya serta enggan memberikan sumbangan perbelanjaan isi rumah dalam apa cara sekalipun.
Wanita itu pernah cuba untuk berbincang dengan dua anaknya supaya berpindah dari rumah itu, lebih-lebih lagi mereka sudah mempunyai pekerjaan dan mampu menyewa tempat tinggal sendiri.
Namun, mereka enggan menerima idea tersebut.
Oleh kerana kedua-dua anak lelakinya tidak memberikan sumbangan kewangan atau melakukan kerja rumah, wanita tersebut tidak mempunyai pilihan selain membawa perkara itu ke mahkamah.
Kes itu diakhiri dengan keputusan Hakim Simona Caterbi yang bersimpati dengan wanita berkenaan, lalu mengeluarkan notis pengusiran terhadap dua anaknya.
Dalam keputusannya, hakim berhujah bahawa walaupun kewajipan ibu bapa menyediakan nafkah kepada anak-anak sehingga mencapai umur 18 tahun tetapi ia adalah tidak wajar untuk mereka yang berusia 40-an.
Kedua-dua anak lelaki itu kini mempunyai masa sehingga 18 Disember depan untuk berpindah dari rumah ibu mereka. – AGENSI