SUDAH tiada apa yang mampu pengendali Kelantan, Alfredo Angel Vera lakukan kecuali melabelkan kualiti pasukan ketika ini tidak ubah seperti ‘pasukan kampung’ dan langsung tidak layak untuk bermain di peringkat tertinggi bola sepak Malaysia.
Tanpa menyalahkan pemain ekoran kekalahan 8-0 kepada Perak di Stadium Perak, kelmarin, Vera seakan ‘mati kutu’ untuk memberikan jawapan kepada setiap persoalan yang diajukan ketika sidang media.
“Kita tahu situasi kelab kita sekarang seperti apa, tiada pemain dan paling penting sekarang saya berusaha. Saya tidak suka cari alasan dan minta pemain untuk berjuang sampai selesai
“Tetapi sangat susah untuk berjuang dengan pasukan lain yang semuanya berlatih setiap hari dan memiliki pemain yang lengkap. Kita seperti pasukan kawan-kawan, panggil (pemain) di sana dan kumpul di sini untuk bermain.
“Pemain sudah buat yang terbaik, berusaha dan saya tidak boleh cakap apa-apa kerana bukan salah mereka. Tidak mungkin kita boleh lawan pasukan yang benar-benar profesional,” katanya.
Pada perlawanan kelmarin, Luka Milunovic mencipta hatrik, diikuti dua gol daripada Seo Seonung dan masing-masing satu gol daripada Wan Zack Haikal Wan Nor, Shivan Pillay Asokan dan Luciano Guaycochea.
Ia adalah kekalahan besar keempat berturut-turut, tewas 8-0 kepada Terengganu, dimalukan Johor Darul Ta’zim (JDT) 10-0, tewas 11-2 di tangan Selangor.
“Perlawanan selepas ini kita hanya berusaha, bekerja keras dan berikan semaksimum mungkin. Walaupun tahu boleh kalah, nikmati perlawanan dan kita kena jadi kuat untuk lengkapkan pertandingan,” katanya.