MEMASANG impian bergelar usahawan muda berjaya pada satu hari nanti membuatkan gadis muda itu semakin berkobar-kobar mengejar impiannya.
Cita-cita murni itu juga tidak mustahil dapat digapai Nur Azwani Ilias selepas dia berjaya menamatkan pengajian peringkat diploma dalam pengurusan perniagaan pada hujung tahun lalu.
Lebih manis dan membanggakan, dia terpilih menerima Anugerah Emas Terbaik Keseluruhan (Anugerah Emas Pengerusi) daripada Kolej Teknologi Antarabangsa Cybernetics, Taman Maluri, Cheras di ibu negara.
Langsung tidak terfikir, aksinya meluru mendapatkan ibu bapa dan memeluk serta mencium ‘syurganya’ itu tular dalam TikTok sehingga mengundang sebak netizen.
“Kejadian berlaku ketika majlis konvokesyen saya di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia.
“Saya dapat Anugerah Emas Terbaik Keseluruhan atas pencalonan ketua program.
“Graduan terbaik dipilih mengikut kehadiran ke kelas, aktif di dalam dan luar kolej, banyak menyertai kelab serta akademik,” katanya memulakan bicara.
Berkongsi lanjut bersama iGen, penganugerahan pihak atasan kolej itu juga disebabkan prestasinya serta jawatan-jawatan dipegang ketika di kampus.
Mesra disapa Wani dalam kalangan keluarga dan rakan-rakan, dia berkata, tidak pernah terlintas dalam fikirannya bahawa video yang dimuat naik oleh salah seorang pensyarah itu bakal tular dalam media sosial.
“Apa yang saya boleh katakan, ibu bapa saya sebenarnya langsung tidak tahu bahawa saya dapat anugerah terbaik secara keseluruhan.
“Saya saja sorok mengenai anugerah ini dan memang hendak beri kejutan kepada mereka.
“Masa turun pergi dekat mereka, ibu bapa ucap tahniah atas kejayaan saya. Tapi ibu tak berhenti mengalirkan air mata sehingga pulang ke rumah.
“Idea ini tidak dirancang sama sekali. Saya bagi hadiah yang saya dapat kepada mereka, sejambak bunga untuk ibu dan pingat emas kepada bapa,” katanya mengimbas semula memori indah tersebut.
Berkongsi pahit manis sepanjang pengajiannya di kampus, anak kedua daripada tiga beradik yang berusia 22 tahun itu berjaya membuktikan penat lelahnya sepanjang tiga tahun terbalas dengan senyuman.
“Segala penat lelah dan susahnya ibu menghantar saya menaiki motosikal dari rumah di Jalan Klang Lama ke kolej di Cheras, akhirnya terbalas.
“Anggaran lebih kurang 20 minit ulang-alik pergi dan balik, walau ketika itu ibu masih bekerja.
“Kolej ada sediakan asrama, tetapi bapa tidak izinkan saya tinggal di sana atas faktor keselamatan.
“Paling tidak boleh dilupakan ketika musim pandemik Covid-19, di mana kelas berlangsung secara online tanpa bersemuka,” tuturnya.
Tambahnya, ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kelas secara online, dia sebenarnya tidak mampu memberikan fokusnya kepada pelajaran.
“Kalau di rumah, biasalah jaringan internet agak lambat dan suasana rumah bising.
“Saya memang tak boleh fokus dengan apa yang pensyarah ajar.
“Pada masa sama, saya juga membantu keluarga di restoran. Ketika itulah saya membahagikan masa dengan tugasan, kerja dan lain-lain.
“Saya terus berjuang, semua itu bagi saya hanya sementara.
“Saya teruskan belajar hingga membuahkan hasil,” ujar Wani yang tidak akan pernah melupakan jasa kedua-dua orang tuanya yang terus berdoa dan meniupkan semangat kepadanya.
Sementara itu, dia yang memperoleh Anugerah Dekan Kelas Pertama dengan keputusan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.88 sedang meneruskan pengajian dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan.
Katanya, ia bagi mencapai cita-citanya untuk bergelar usahawan muda berjaya pada satu hari nanti.