PUTRAJAYA- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan lawatan kerja ke Singapura pada hari ini dan esok sempena Sesi Permukiman Pemimpin-Pemimpin Malaysia-Singapura yang ke-10.
Perdana Menteri akan diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dan beberapa Menteri Kabinet serta pegawai-pegawai kanan Kerajaan lain.
Wisma Putra berkata, Perdana Menteri akan mengadakan pertemuan dengan rakan sejawat beliau iaitu Lee Hsien Loong bagi membincangkan langkah-langkah ke arah meningkatkan hubungan dan kerjasama dua hala.
Katanya, ia termasuk inisiatif-inisiatif baharu berkait kesalinghubungan dan usaha melancarkan pergerakan rentas sempadan serta kerjasama dalam tenaga hijau.
“Anwar dan Hsien Loong juga akan menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman
dalam bidang keusahawanan dan surat sampingan untuk menambahbaik peruntukan-peruntukan dalam Perjanjian Bagi Tabung Pembangunan Perniagaan Negara Ketiga Malaysia-Singapura.
“Satu kenyataan bersama akan dikeluarkan selepas sesi itu,” katanya dalam satu kenyataan tadi.
Jelas Wisma Putra, Anwar turut dijadual untuk mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Republik Singapura, Tharman Shanmugaratnam di Istana Singapura.
“Sesi Permukiman Pemimpin-Pemimpin Malaysia-Singapura merupakan mekanisme dua hala peringkat tertinggi di antara kedua-dua negara yang dihoskan secara bergilir-gilir sejak 2007.
“Penganjuran Sesi Permukiman itu telah tertangguh semenjak tahun 2019 berikutan penularan wabak Covid-19,” katanya.
Ini merupakan pertemuan pertama Anwar dan Hsien Loong dalam kerangka Sesi Permukiman.
Malaysia dan Singapura merupakan dua jiran rapat dengan hubungan yang telah terjalin sekian lama.
Daripada aspek ekonomi, Malaysia merupakan rakan dagangan kedua terbesar Singapura dan Singapura juga merupakan rakan dagangan kedua terbesar Malaysia dengan nilai dagangan berjumlah RM368.19 bilion pada tahun 2022 iaitu peningkatan sebanyak 37.6 peratus berbanding nilai pada tahun 2021. – KOSMO! ONLINE