BANDAR GAZA – Israel memulakan fasa baharu dalam pencerobohannya ke atas Gaza dengan meluaskan operasi serangan darat di wilayah itu.
Namun, penganalisis memberi amaran bahawa kempen tersebut adalah yang paling berisiko dalam tempoh setengah abad sekali gus boleh mengancam seluruh rantau Asia Barat.
Lebih 8,000 orang awam terkorban di Gaza sejak Rejim Zionis melancarkan serangan udara pada 7 Oktober lalu.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendahului amaran terbaharu dengan menegaskan bahawa beribu-ribu lagi dibimbangi terkorban apabila Zionis mengerahkan tentera dan kereta kebal lebih jauh ke kawasan Semenanjung Gaza.
Ia dalam masa sama menambah kebimbangan Barat bahawa Hizbollah yang disokong Iran berkemungkinan membuka lembaran baharu bagi perang di sempadan Lebanon.
Dengan keadaan hospital-hospital Gaza yang musnah dan bekalan makanan semakin kehabisan, negara-negara Arab yang berjiran dengan Israel bimbang imej penderitaan Palestin boleh mencetuskan tindak balas pro-Hamas di negara masing-masing.
Imej kemusnahan turut mencetuskan kemarahan di kebanyakkan negara di seluruh dunia.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu bagaimanapun tidak mengendahkan desakan dunia sebaliknya berikrar akan memberikan layanan tanpa belas kasihan terhadap Hamas.
Namun, pihak berkuasa Hamas berkata, lebih 8,000 orang dengan separuh daripadanya adalah kanak-kanak terkorban dalam beribu-ribu serangan udara tentera Israel sejak permulaan perang itu.
Kini, berpuluh-puluh ribu askar Israel dikerah di sempadan Gaza untuk peringkat paling sukar dalam peperangan. Netanyahu memberi amaran ia akan melibatkan tempoh yang panjang dan sukar.
“Kita akan melihat banyak pembunuhan beramai-ramai. Kita akan melihat banyak perkara yang mengerikan,” kata bekas penolong setiausaha negara Amerika Syarikat dan duta ke Israel, Edward Djerejian yang kesal kerana kekurangan inisiatif politik untuk menamatkan krisis tersebut.
Menurut pakar konflik Israel-Palestin di Universiti Bar-Ilan dekat Tel Aviv, Jonathan Rynhold, pertempuran itu adalah yang paling berbahaya di Israel sejak perang Arab-Israel meletus pada 1973.
Beliau berkata, Israel perlu bersedia menghadapi kematian besar-besaran yang akan menjadi lebih teruk jika Hizbollah mengubah insiden berbalas artileri yang berlaku hampir setiap hari dengan menjadi konflik berskala besar.
Tambahnya, askar Israel telah diberi latihan khas untuk peperangan bandar di jalan-jalan sempit yang mengandungi runtuhan di wilayah Palestin itu serta rangkaian besar terowong bawah tanah Hamas yang mereka gelar ‘Metro Gaza’.
“Jika Israel mengikut matlamat yang dinyatakan untuk memusnahkan keupayaan ketenteraan Hamas di Semenanjung Gaza dan menggulingkannya, maka skala dan tempoh perang ini akan menjadi lebih besar dan lama daripada empat perang Gaza sebelum ini sejak 2005,” kata Rynhold.
Pertempuran ketika itu berlangsung selama tujuh minggu.
“Konflik terbuka dengan Hizbollah pula berisiko melibatkan AS. Ia bermakna Israel akan terpaksa menerima skala kemusnahan yang tidak pernah dialami sebelum ini,” kata Rynhold.
AS dan kuasa Eropah telah memberi sokongan kuat kepada Netanyahu, namun menggesanya untuk mengehadkan korban awam yang membakar kemarahan negara Arab selain mendesak ia membuka koridor bantuan kemanusiaan kepada Gaza.
Presiden Joe Biden sebelum ini telah menghantar dua kumpulan kapal pengangkut pesawat ke timur Laut Mediterranean dan memberi amaran kepada Hizbollah serta yang lain supaya tidak campur tangan. – AFP