fbpx

TLDM laksana pelbagai aktiviti CIMIC sepanjang 2023

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Warga MPPL, KDSI I dan Pusat Kepimpinan TLDM dalam Program Pemulihan Hutan Paya Laut.

PROGRAM Jiwa Murni atau lebih dikenali sebagai Civil Military Coo­peration (CIMIC) menjadi platform mengukuhkan hubungan antara tentera dan masyarakat selain menjadi teras keempat dalam Pelan Strategik Mindef 2021-2025.

Program ini juga merupakan sebahagian daripada aktiviti melibatkan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam operasi selain daripada pe­perangan (Military Operations Other Than War – MOOTW) seperti bantuan semasa musibah dan bencana serta aktiviti-aktiviti melibatkan masyarakat dan agensi lain yang berkaitan.

Bagi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), program berkenaan te­lah dijadikan aktiviti tahunan dalam kalendar TLDM dan dilaksanakan secara aktif oleh setiap markas formasi di seluruh negara.

Menurut Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob, Markas Pangkalan TLDM Lumut (MKPL) dan Markas Peme­rintahan Pendidikan dan Latihan (MPPL) TLDM adalah antara markas formasi di Pangkalan TLDM Lumut yang aktif melaksanakan program berkenaan.

Jelasnya, kedua-dua markas itu bersama unit-unit di bawah nau­ngan masing-masing adalah antara markas formasi TLDM yang aktif melaksanakan program CIMIC bersama komuniti setempat dan agensi yang berkaitan.

“Bagi MPPL TLDM, pelbagai aktiviti CIMIC telah berjaya dilaksanakan pada tahun 2023 termasuklah Program Jiwa Murni yang diadakan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Uk Ing di Sitiawan pada Februari lalu.

“Seramai 900 pegawai dan anggota dari Fakulti Kejuruteraan Kapal Diraja (KD) Pelandok telah bergotong-royong mengecat, membaik pulih kerusi dan meja kayu yang rosak, memasang dan menyelenggara pendawaian bangunan, menebang pokok serta mengemas persekitaran sekolah bagi melahirkan suasana yang lebih kondusif kepada warga SJKC di situ,” katanya kepada Kosmo!.

Warga TLDM bekerjasama dengan Jabatan Perhutanan Negeri Perak menanam anak pokok paya bakau di Hutan Simpan Tanjung Burung, Pantai Remis.

Bagaimanapun, Abdul Rahman berkata, aktiviti CIMIC bukan hanya tertumpu kepada sekolah semata-mata.

Sebaliknya kata beliau, warga TLDM yang berkhidmat di MPPL TLDM, KD Sultan Idris I dan Pusat Kepimpinan TLDM turut menjayakan Program Pemulihan Hutan Paya Laut dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Negeri Perak.

Sebanyak 3,000 anak pokok paya bakau di Hutan Simpan Tanjung Burung, Pantai Remis telah ditanam bagi memastikan kelesta­rian sumber semula jadi di kawasan maritim.

Sementara itu, Abdul Rahman memberitahu, bagi markas MPKL pula, antara aktiviti CIMIC telah dilaksanakan adalah melibatkan program memasak dan meng­agihkan bubur lambuk kepada agensi-­agensi kerajaaan sekitar daerah Manjung pada awal Ramadan lalu.

Malah, katanya, aktiviti seumpama itu telah menjadi amalan tradisi tahunan kepada MKPL yang bertujuan untuk mengeratkan lagi silaturahim antara TLDM bersama agensi kerajaan yang lain di samping dapat mengimarahkan lagi bulan Ramadan.

Aktiviti pembersihan di kawasan sungai untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan alam sekitar kepada ekosistem.

“Bukan itu sahaja, Wisma Samudera yang merupakan unit di bawah MKPL turut tidak me­lepaskan peluang dalam menjayakan aktiviti CIMIC dengan penyer­taan mereka dalam Program Sayangi dan Cintailah Sungai Kita di Gopeng bersama penduduk setempat.

“Penyertaan TLDM dalam program tersebut telah memberi kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan sungai dan tanggungjawab masyarakat di situ dalam menjaga ekosistem serta mencegah pencemaran daripada terus berlaku,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, program Jiwa Murni atau CIMIC yang dilaksanakan oleh TLDM ini adalah bagi menyokong teras keempat Pelan Strategik Mindef 2021-2025, iaitu memperkukuhkan kerjasama awam-tentera demi pertahanan menyeluruh.

“Kerjasama awam-tentera pen­ting untuk memastikan kesinambungan dan keberkesanan usaha pertahanan negara.

“Dengan program CIMIC yang dilaksanakan ini, TLDM dapat memainkan peranan yang penting dalam memastikan keselamatan dan kedaulatan maritim negara, sekaligus memberikan manfaat kepada masyarakat tempatan dan membangunkan kapasiti pertahanan secara holistik,” ujarnya.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI