fbpx

Kecewa, Anuar Zain sedut nebulizer habiskan konsert

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANUAR Zain mengakui kecewa dengan tahap persembahannya pada konsert AZ40 di Stadium Malawati, Shah Alam, malam tadi.

PETALING JAYA – “Sejujurnya saya kecewa apabila hilang suara sekali gus tidak dapat mencapai standard yang saya tetapkan.”

Demikian kata penyanyi Anuar Zain apabila mengalami demam dan batuk yang teruk, seminggu menjelang konsertnya, Anuar Zain 40th Anniversary (AZ40), semalam.

Selain sukar untuk menyanyikan lagu-lagu bernada tinggi, pemilik nama sebenar Shahrul anuar Zain itu juga terpaksa menggunakan nebulizer sepanjang konsert untuk memulihkan kembali pernafasannya setiap kali selesai menyanyi.

Jelas adik kepada penyanyi Ziana Zain itu, walaupun dia mengalami masalah suara, konsert tersebut perlu diteruskan dengan baik demi peminat tersayang.

“Rasanya tak pernah dibuat penyanyi lain apabila terpaksa sedut nebulizer ketika menyanyi. Walaupun saya hampir kehilangan suara, tapi semangat saya kuat untuk selesaikan konsert ini.

“Apa pun yang terjadi, persembahan tetap perlu diteruskan. Melihat peminat yang datang menguatkan lagi semangat saya untuk meneruskan persembahan,” jelasnya.

Pada masa sama, penyanyi berusia 53 tahun itu tetap bersyukur apabila konsertnya berjalan dengan lancar, walaupun ketika dirinya berdepan dengan masalah kesihatan.

“Walaupun saya sedikit kecewa, tapi saya tetap bersyukur kerana sudah lakukan yang terbaik demi peminat,” katanya.

Konsert AZ40 yang berlangsung malam tadi di Stadium Malawati, Shah Alam menyaksikan seramai 8,000 peminat hadir memberikan sokongan terhadap Anuar, walaupun cuaca pada hari semalam hujan sepanjang hari.

Konsert yang berlangsung selama dua jam itu turut menyaksikan Anuar menyanyikan 20 buah lagu antaranya Lelaki Ini, Sedetik Lebih, Bila Resah dan Sesucinya Cintamu.

Beberapa rakan artis turut kelihatan hadir memberikan sokongan terhadap konsert yang dianjurkan bersempena penglibatannya dalam bidang seni selama empat dekad.

Antara selebriti yang hadir adalah seperti kakaknya sendiri, Ziana Zain, Datuk Sheila Majid, Misha Omar, Rozita Che Wan serta anak saudaranya, Ernie Zakri dan suami, Syamel. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI